Hari Alumni UiTM Disambut Pada Setiap 19 Disember

KUCHING, 19 DISEMBER 2022  – Pada hari ini Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengumumkan bahawa ‘Hari Alumni UiTM’ bakal disambut oleh seluruh alumni UiTM pada setiap 19 Disember. Tarikh berkenaan dipilih berdasarkan tarikh Majlis Konvokesyen UiTM yang pertama atau ketika itu dikenali sebagai Dewan Latehan RIDA iaitu pada 19 Disember 1964. Hari bersejarah tersebut telah menyaksikan 50 graduan menerima diploma dan sijil yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.

50 orang graduan tersebut merupakan lulusan:

I.          Kursus Pengurusan Akaun (ICWA Examination – Part 3) seramai 8 orang;

II.         Kursus Setiausaha (CCS Examination) seramai 19 orang;

III.        Kursus Pengurusan Perniagaan (BIM Examination – Part 1) seramai 2 orang; dan

IV.        Kursus Terengkas seramai 21 orang.

Sehingga hari ini, 968,161 skrol telah dianugerahkan kepada graduan UiTM seluruh Malaysia dan telah berjaya melahirkan 642,118 Alumni UiTM. Daripada jumlah tersebut, seramai 59,188 alumni berdaftar di bawah 41 persatuan alumni yang telah disahkan pada peringkat Pengurusan Tertinggi Universiti, serta juga berdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pengisytiharan 19 Disember sebagai Hari Alumni UiTM adalah sebagai tanda penghargaan kepada para alumni UiTM yang menjadi pemangkin kepada kelestarian pembangunan ekosistem universiti mampan. Pengisytiharan tersebut dibuat oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd. Janor bersempena dengan Istiadat Konvokesyen yang berlangsung di UiTM Cawangan Sarawak.

Dengan adanya sambutan Hari Alumni, interaksi antara alumni dan UiTM dapat diperkukuh seterusnya mencetus penglibatan yang lebih akrab dan aktif. Peranan alumni amat penting dalam meningkatkan dan merapatkan hubungan dari satu generasi ke satu generasi. Para alumni diharapkan akan terus mendampingi UiTM demi kelangsungan pembangunan dan pemerkasaan UiTM sebagai sebuah universiti terkemuka dunia dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, sekaligus mengangkat imej pengajian tinggi negara.