JENGKA, 11 September 2023 – Rentetan daripada program Gift of Reading 4.0 yang yang telah menjadi aktiviti tahunan Akademi Pengajian Bahasa (APB) Kampus Jengka, seramai 6 orang pensyarah Bahasa Inggeris telah hadir ke Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 10 bagi menjayakan program “Sing Along” bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari. Program ini telah melibatkan seramai 33 orang pelajar tahun 6 dan beberapa orang guru pembimbing.
Setibanya di sekolah, semua pensyarah telah hadir ke makmal komputer di mana beberapa aktiviti telah dijalankan untuk menguji dan mendapatkan maklum balas mengenai tahap kemahiran mendengar, menulis, membaca dan bertutur para pelajar. Kesemua kemahiran ini diuji dengan menggunakan sebuah lagu bertajuk “Tik Tok the Grandfather Clock” yang telah digubah oleh En Mohd Rozaidi bin Ismail berdasarkan sebuah cerita pendek.
Antara objektif program ini dijalankan adalah untuk memupuk minat membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah selain mewujudkan platform membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris dengan menarik bersama iringan lagu. Selain ini, program ini juga dirangka demi memastikan kualiti Pendidikan terangkum dan sama rata, serta meningkatkan lagi peluang pendidikan sepanjang hayat kepada semua sepertimana yang terkandung dalam SDG-4. SDG-17 juga membawa idea kerjasama demi matlamat turut diketengahkan melalui program ini.
Diharapkan program Sing Along: Tick Tock the Grandfather Clock ini dapat menjadi salah satu pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan secara amnya dan pendidikan Bahasa Inggeris khususnya kepada masyarakat luar bandar. Minat membaca yang cuba dipupuk dari awal usia diharap dapat melahirkan generasi membaca dan berfikir yang mampan dari segi intelektual serta sahsiah.