KUNJUNGAN SCUD UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU KE BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT ZON TAWAU BANTU TINGKATKAN KEMAHIRAN INSANIAH

TAWAU, 12 SEPTEMBER 2023 – Sepasukan 10 Ahli Jawatankuasa “Safety Committee Under Department (SCUD)”, UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan kunjungan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Sabah.

Kunjungan rombongan telah diketuai oleh Pengerusi Ahli Jawatankuasa SCUD, merangkap Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling yang bertujuan meningkatkan pengetahuan terhadap peranan pihak Bomba dan Kemahiran Insaniah (soft skills) Ahli Jawatankuasa SCUD dalam pelaksanaan Latihan Pengungsian Bangunan dan Kebakaran di dalam kampus.

Dalam pada itu, perbincangan turut diadakan berkisarkan khidmat nasihat daripada pihak Bomba bagi memantapkan pasukan Ahli Jawatankuasa SCUD, tentang sistem pencegahan dan persediaan menghadapi kebakaran bangunan. Di kesempatan itu juga, kunjungan turut mendengar taklimat mengenai peranan Bomba dalam menjalankan tugas harian dan tatacara yang betul semasa melaksanakan Latihan Pengungsian Bangunan dan Kebakaran yang telah disampaikan oleh Pegawai Bomba Kanan I (KUP), Bahagian Operasi, Tuan Zougarana Konin.

Seterusnya, kunjungan telah dibawa melawat ke Bahagian Operasi serta melihat dengan lebih dekat jentera Bomba yang digunakan semasa operasi menyelamat di lokasi bencana dan kebakaran.

Di akhir lawatan, sesi bergambar bersama kunjungan dan penyampaian cenderamata tanda terima kasih telah disampaikan oleh Pengerusi Ahli Jawatankuasa SCUD, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling kepada Penolong Penguasa Bomba, Bahagian Keselamatan Kebakaran, Tuan Mohd Farouk Abdul Rahman, mewakili Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Sabah.