‘Get-To-Know MPP & SMF’ Fakulti Sains Kesihatan

 

21 November 2020: Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan sesi 2019/2020 (SMF, FSK) telah menjayakan sebuah program dalam talian iaitu Get-To-Know MPP & SMF yang terdiri daripada 492 orang mahasiswa baharu yang terdiri daripada 8 kod program di dalam Fakulti Sains Kesihatan. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), serta barisan kepimpinan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2019/2020 kepada mahasiswa sekali gus menarik minat pelajar untuk menyertai aktiviti berpersatuan sama ada persatuan dalaman ataupun di dalam SMF sendiri bagi meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing. Program ini telah diadakan melalui platform Google Meet berikutan keadaan kesihatan sekarang yang tidak mengizinkan kita untuk bersua secara bersemuka. Sebanyak 5 cabang Google Meet telah digunakan bagi memuatkan para VIP, ahli jawatankuasa program serta 492 mahasiswa baharu Fakulti Sains Kesihatan untuk majlis pada kali ini.

Program ini bermula dengan pendaftaran pelajar ke dalam Google Meet yang telah ditetapkan oleh ahli jawatankuasa program ini. Majlis diteruskan dengan slot bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Fakulti Sains Kesihatan sesi 2019/2020 yang diambil alih oleh saudari Nur Kamila binti Zainudin selaku MPP bagi Fakulti Sains Kesihatan serta menyandang jawatan sebagai Exco Kebajikan dan Kewangan Mahasiswa di dalam barisan kepimpinan MPP UiTM Shah Alam. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan slot bersama Presiden Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan sesi 2019/2020 yang telah diambil alih oleh Saudari Sharifah Nurnajiihah binti Syed Rosli. Pendedahan berkenaan dengan barisan kepimpinan SMF iaitu Majlis Tertinggi dan Exco-Exco yang ada di dalam SMF serta perkongsian berkenaan program-program fizikal yang diadakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan program atas talian selepas PKP yang pernah dianjurkan dibawah SMF FSK telah disampaikan secara teratur.

Selain daripada itu, terdapat juga sesi perkongsian yang disampaikan oleh ahli SMF FSK sendiri iaitu Saudari Nurul Izzati binti Sujak selaku Timbalan Setiausaha Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan sesi 2019/2020 dan juga Saudari Nurfatin Izzati binti Sarfraz Ahmed selaku Exco Akademik, Kerjaya dan STEM Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan. Mereka berkongsi pengalaman masing-masing ketika berpersatuan terutama di dalam SMF dan juga memberitahu para mahasiswa baru berkenaan dengan input dan kelebihan yang mereka dapat sepanjang berada di dalam SMF selama dua sesi berturut-turut. Perkongsian tersebut sedikit sebanyak telah memberi pengetahuan serta info kepada mahasiswa berkenaan pengajaran dan juga kemahiran yang boleh diperoleh oleh pelajar yang berpersatuan.

Sebelum berakhirnya majlis, sesi soal jawab telah berlangsung dan diketuai oleh moderator program iaitu saudara Nuruddin Hamzah bin Hamzani, saudari Nur Kamila, saudari Sharifah Nurnajiihah beserta beberapa ahli jawatankuasa yang ditugaskan di setiap cabang Google Meet. Soalan-soalan yang telah diajukan oleh mahasiswa telah pun dijawab dan dijelaskan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat dan ia telah berakhir dengan jayanya. Menurut pengarah program, Saudari Nurul Izzati, program Get-To-Know MPP & SMF ini bukan sahaja dapat memberi penjelasan dan penerangan yang mencukupi kepada para mahasiswa berkenaan dengan persatuan pelajar, tetapi ia juga mampu menarik minat para pelajar untuk menyertai aktiviti berorganisasi sama ada di dalam persatuan dalaman mahupun SMF bagi meningkatkan kualiti diri serta kemahiran insaniah seseorang individu.