Gerak Gempur Peperiksaan Akhir Pra diploma: “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”

Seri Iskandar, 1 Februari 2024. “ Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Itulah pepatah  Melayu bagi memastikan KPI Lulus Naik Taraf (LNT) pelajar pra diploma UiTM Cawangan Perak mencapai 90 peratus dan ke atas. Rentetan perkara tersebut, penganjuran bengkel persediaan dan teknik menjawab peperiksaan telah dijalankan selama 3 hari, bermula  22 hingga 24 Januari 2024 sebagai inisiatif bagi mencapai KPI tersebut. 

Bengkel Gerak Gempur Matematik dan Program Mentor Mentee merupakan 2 inisiatif program yang dijalankan serentak melibatkan keseluruhan  pelajar pra diploma seramai 315 orang, manakala Program Mentor Mentee fokus kepada 54 pelajar yang berprestasi rendah. Seramai 35 mentor telah dipilih daripada kalangan pelajar yang cemerlang untuk membimbing 54 pelajar tersebut, dengan penglibatan  6 pensyarah  termasuk koordinator pra Siswazah, Puan Nor Zarina Binti Mohd Salim. Sepanjang tempoh 3 hari, latihan intensif  dan panduan menjawab soalan Matematik telah dilaksanakan dari jam  9.00 pagi hingga  5.00 petang. Dalam tempoh tersebut 6 set soalan  telah disediakan dan berjaya dijawab oleh para pelajar. 

Hasil soal selidik yang dijalankan menunjukkan bahawa 90 peratus pelajar mengakui keberkesanan program ini dalam meningkatkan keyakinan dan pemahaman mereka  untuk menghadapi peperiksaan akhir.  Keazaman dan komitmen pensyarah dalam memastikan kejayaan semua pelajar-pelajar pra diploma untuk  ke peringkat diploma telah menyuntik semangat motivasi yang tinggi di jiwa pelajar. Harapannya, usaha ikhlas ini dapat menghasilkan kejayaan yang cemerlang sebagaimana yang diungkapkan dalam pepatah,  jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.  Moga kegemilangan Pra diploma UiTM Cawangan Perak yang telah  merekodkan kejayaan pencapaian 100 peratus kelulusan sebanyak 6 kali sepanjang kewujudan program pra diploma di UiTM Cawangan Perak ini menyusul lagi untuk kali ke 7 pada semester ini. 

Laporan disediakan oleh Nor Zarina Mohd Salim bersama Dr Siti Nur’Amalina Syeddin, Hafini Suhana Ithnin.

Koresponden: : norza919@uitm.eu.my: