FSKM UiTM Teraju Agenda Memperkasa Bumiputera Profesional Bidang Sains Aktuari

SHAH ALAM, 8 SEPTEMBER 2022 – UiTM Menerusi Fakulti Sains Komputer dan Matematik telah melancarkan satu inisiatif proaktif bagi memperkasa Bumiputera Profesional dalam bidang Sains Aktuari melalui sesi Perbincangan Meja Bulat bersama pihak industri bertempat di Hotel Mardhiyyah Shah Alam. Sesi ini telah dirasmikan oleh YBhg Prof. Dr Mohamad Hariri Hj Abdullah, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, mewakili YBhg Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.

Seramai 20 orang delegasi dari sektor swasta seperti Felo Aktuari Bumiputera, Pengurus Kanan dan Profesional Aktuari telah hadir bagi membincangkan hala tuju untuk memperkasakan bilangan Bumiputera Professional dalam bidang Sains Aktuari dan seterusnya meningkatkan peratusan Aktuari berstatus Felo di kalangan Bumiputera. Perbincangan meja bulat ini merupakan langkah strategik fakulti dan universiti bagi menggalakkan lebih ramai graduan bumiputera UiTM menceburkan diri dalam profesion Aktuari yang semakin mendapat permintaan tinggi pada masa kini terutamanya dari sektor swasta seperti syarikat-syarikat insurans dan takaful, pelaburan dan institusi kewangan. Kepakaran profesion Aktuari diiktiraf sebagai berkemahiran menggunakan matematik dan statistik, analisa dan pemodelan data dalam membuat penilaian dan pengurusan risiko kewangan, pelaburan, polisi insurans dan usaha niaga lain yang berpotensi berisiko.

Dalam ucapan yang dibacakan oleh YBhg Prof. Dr Mohamad Hariri Hj Abdullah, Ybhg. Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM berkata, “UiTM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia yang telah melahirkan ramai graduan Bumiputera termasuk dalam bidang Sains Aktuari, di mana graduan dalam bidang Sains Aktuari ini sangat berpotensi untuk mendominasi institusi kewangan termasuk kewangan Islam terutama di dalam sektor Takaful”.

Beliau turut menambah bahawa “Penganjuran perjumpaan meja bulat ini juga secara tidak langsung menyahut salah satu Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang telah di perkatakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember 2021. Salah satu aktiviti yang dititikberatkan dalam TPB2030 adalah Kewangan Islam 2.0. Takaful merupakan sebahagian daripada kewangan Islam yang menyediakan perkhidmatan perlindungan kewangan berlandaskan Islam dan juga kerangka sistem kewangan Islam.”

UiTM merupakan perintis apabila menjadi institusi pendidikan awam yang pertama menawarkan program Diploma Sains Aktuari seawal tahun 1966 di bawah Sekolah Sains Aktuari, Statistik, Matematik, Ekonometrik dan Sibernetik (ASMEC). Kini, UiTM menerusi Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM) bukan sahaja mengendalikan program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, malah turut menawarkan program pascasiswazah seperti Sarjana dan Kedoktoran bidang Sains Aktuari.

Pada tahun 2020, UiTM menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari berdasarkan kurikulum Institute and Faculty of Actuary (IFoA), United Kingdom. Pengecualian sebanyak lima kertas peperiksaan profesional Sains Aktuari diberikan kepada pelajar yang memenuhi minimum penilaian purata gred bagi subjek-subjek tertentu. Kurikulum baharu ini membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM dalam bidang Sains Aktuari. Sehingga kini seramai 90 orang pelajar telah berjaya mendapatkan pengecualian kertas peperiksaan profesional, 10 daripadanya berjaya mendapatkan pengecualian penuh iaitu sebanyak 5 kertas peperiksaan profesional. Pencapaian ini merupakan kejayaan besar buat universiti kerana mendapat pengiktirafan daripada institusi yang diiktiraf dunia.

Perbincangan Meja Bulat yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Aktuari UiTM Shah Alam dan Actuarial Resource Centre, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dengan kerjasama Malaysian Takaful Association (MTA) dan tajaan daripada Syarikat Zurich Takaful Malaysia Berhad ini diadakan buat julung kalinya bagi menyahut misi UiTM untuk memperkasa Bumiputera Profesional khususnya dalam bidang Sains Aktuari. Perbincangan dihadiri oleh Tuan Haji Nazrul Hisham Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif, Zurich Takaful Malaysia Berhad, Tuan Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Tuan Azahary Kamarulzaman, Ketua Kelestarian,Bank Rakyat, Tuan Syed Hamadah Bin Syed Othman, Partner of Actuarial Partners serta Profesor Adjung Sains Aktuari, FSKM, Prof. Ts. Dr. Haryani Haron, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik,UiTM, Aktuari dari Actuarial Partners Consulting, Alumni Sains Aktuari UiTM, serta wakil-wakil Bumiputera Aktuari dari sektor swasta.