21,851 Graduan UiTM Terima Anugerah Pada Istiadat Konvokesyen Ke-94

SHAH ALAM, 10 SEPTEMBER 2022 – Istiadat Konvokesyen UiTM ke-94 kali akan berlangsung secara bersemuka bermula pada 10 hingga 29 September 2022 dengan menyaksikan seramai 21,851 keseluruhan graduan akan menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.

Sidang pertama istiadat menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Tuanku Canselor UiTM menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah kepada 116 graduan dalam pelbagai bidang. Di UiTM Shah Alam sebanyak 21 sidang akan berlangsung dengan penganugerahan kepada seramai 21,851 graduan dan diikuti dengan UiTM Cawangan Sarawak yang akan berlangsung pada 26 hingga 27 September 2022 dengan jumlah graduan seramai 998 orang. Istiadat Konvokesyen UiTM ke-94 bakal melabuhkan tirai di UiTM Cawangan Sabah pada 29 September 2022 yang melibatkan seramai 510 graduan.

Konvokesyen UiTM ke-94 juga menyaksikan penganugerahan kurnia gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Normah Haji Omar atas sumbangan dan kepakaran beliau dalam bidang Kriminologi Kewangan Islam. Beliau telah dinobatkan sebagai Wanita pertama paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory pada tahun 2020. Di samping memegang beberapa jawatan penting di peringkat nasional, Profesor Dr Normah juga telah berjaya menaikkan taraf kedudukan usahawan wanita dengan membangunkan produk-produk baharu Kewangan Islam. Suatu sumbangan yang besar nilainya kepada UiTM dan dunia.

Turut berangkat ke UiTM sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-94, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin juga sebagai ProCanselor UiTM dan kehadiran Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Secara keseluruhannya, pecahan bagi penganugerahan kepada graduan pada
Istiadat Konvokesyen UiTM ke-94 seperti berikut:
– 106 Ijazah Doktor Falsafah
– 1,124 Ijazah Sarjana termasuk Sarjana Kepakaran Perubatan (10 orang)
– 42 Diploma Lepasan Ijazah
– 12,512 Ijazah Sarjana Muda
– 30 Profesional, dan
– 8,037 Diploma

Seluruh warga UiTM merafak sembah dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen UiTM ke-94. UiTM juga amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi tinggi tahniah atas pengangugerahan Profesor Emeritus kepada Dr Normah Haji Omar.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-94 turut disiarkan secara langsung di saluran rasmi Youtube UiTM Channel, Facebook UiTM Media Rasmi dan TikTok Rasmi UiTM.