Perbincangan Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang Bersama Ancasa Hotels & Resorts

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA, 6 SEPTEMBER 2022 – Sesi pertemuan dan perbincangan awal antara Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang (FSR UiTMCPh), wakil dari Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI UiTMCPh) dan AnCasa Hotels & Resorts telah diadakan di UiTM Pahang Kampus Jengka. Perbincangan melibatkan wakil pihak AnCasa Puan Ruziah Zain (VP Group Human Resources), Encik Abd Halim Md Yusof (General Manager), Encik Sunny Khem dan Puan Azeyan (Group Talent & Development Manager).

AnCasa Hotels & Resorts merupakan rangkaian hotel milik UDA Holdings Berhad dan memiliki 3 cawangan di Kuala Lumpur, Pekan dan Negeri Sembilan. Pihak AnCasa turun padang dalam mencari pelapis kakitangan di kalangan pelajar yang akan menjalani latihan industri. Konsep yang digunakan adalah melatih dan serap masuk iaitu pelajar yang menjalani latihan industri yang berpotensi untuk menjadi pekerja akan diserap terus. Pelajar yang berpotensi semasa latihan industri akan disaring dan seterusnya akan diserap ke dalam Program Protege (spesifik untuk sukan rekreasi) atau Program Pengurusan Management Trainee Programme (semua hospitaliti). Program yang disediakan adalah latihan secara individu untuk mempersiapkan diri sebagai pekerja tetap di AnCasa Hotels & Resorts. AnCasa Royale Pekan ingin menjadi perintis bagi Program Protege berikutan ingin mengukuhkan elemen sukan dan rekreasi dalam perkhidmatan fasiliti yang disediakan.

Jalinan kerjasama ini, memberi peluang kepada pelajar FSR UiTMCPh dalam mempraktiskan teori yang dipelajari selama 2 tahun setengah di UiTMCPh. Setiap pelatih industri akan diberi imbuhan, makanan, dan tempat penginapan. Semasa menjalani latihan industri pelatih akan diterapkan budaya AnCasa itu sendiri. Seterusnya, jalinan kerjasama ini juga, memberi peluang pekerjaan kepada pelajar setelah tamat pengajian. Ini bersesuaian dengan Agenda Matlamat Pembangunan Lestari “SDGs” UiTM iaitu SDG 8 pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang layak iaitu dapat meningkatkan peluang pekerjaan. Peluang bagi setiap pelajar berpotensi bukan terikat kepada sijil diploma atau sarjana muda yang dimiliki tetapi peluang ini terbuka bagi yang beriltizam untuk belajar dan berjaya.