FSKM Lancar Aplikasi Mudah Alih “KitaFSKM”

Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM Shah Alam telah melancarkan satu aplikasi mudah alih yang dinamakan “KitaFSKM”. Majlis pelancaran ini dirasmikan oleh Dekan FSKM, Profesor Ts Dr Haryani Haron pada 5 Oktober 2020 bertempat di FSKM sendiri. Majlis yang sederhana tetapi bermakna turut dihadiri para pensyarah bagi menyaksikan persembahan video montaj yang memaparkan keseluruhan perjalanan pembangunan aplikasi ini serta testimonial.

Aplikasi ini diilhamkan pada awal tempoh perlaksanaan pembelajaran jarak jauh secara terbuka (ODL). Ketika itu terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh pelajar dan pensyarah. Berlaku kebanjiran maklumat berkaitan COVID-19 yang tidak dapat dipastikan kesahihannya serta mengelirukan. Antaranya adalah maklumat kebenaran penghantaran pulang, maklumat perlaksanaan kuarantin, maklumat bantuan pembelian data internet untuk pelajar dan lain-lain lagi. Keadaan ini menyebabkan timbul rasa panik, kemarahan, kegelisahan dan kebingungan di kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan pentadbiran.

Bagi menangani isu ini, FSKM telah menginovasikan sebuah aplikasi mudah alih “KitaFSKM”. Aplikasi ini digunakan oleh pelajar, pensyarah dan kakitangan pentadbiran untuk memberikan pemberitahuan dan maklumat mengenai isu-isu semasa. Objektif utama aplikasi ini adalah penyampaian berita dan maklumat yang sahih 24 jam sehari, 7 hari seminggu dengan pantas, efektif dan menjimatkan kos. Dengan adanya aplikasi ini, maklumat yang dipaparkan dapat dikawal dengan baik. Penyebaran berita-berita palsu juga dapat dikekang.

Menurut Dekan FSKM , Profesor Ts Dr Haryani Haron , aplikasi KitaFSKM merupakan medium perkongsian maklumat yang sahih di kalangan warga FSKM. Beliau turut berkata bahawa dengan kemasukan pelajar baru pada semester Oktober ini, akan lebih ramai pengguna yang memuat turun dan menggunakan aplikasi ini.

Kenyataan ini turut disokong oleh Dr Mohd Izzad Ramli yang membangunkan aplikasi ini. Beliau menyatakan walaupun aplikasi ini baru mula diperkenalkan pada bulan April 2020, jumlah muat turun aplikasi KitaFSKM adalah sebanyak 1400. Kumpulan pensyarah yang membantu beliau dalam pembangunan aplikasi ini telah menjalankan kajiselidik di kalangan pengguna aplikasi. Berdasarkan maklumbalas dari pelajar, KitaFSKM didapati mempunyai ciri-ciri yang digemari seperti format yang mesra pengguna . Lebih penting lagi, ia berfungsi sebagai platform digital utama yang menghubungkan pelajar dengan maklumat terkini yang berkaitan dengan pembelajaran dan pelbagai aktiviti. Sambutan yang amat menggalakan ini telah membuktikan kepentingan aplikasi KitaFSKM yang dijadikan rujukan utama oleh warga FSKM.

Aplikasi KitaFSKM adalah salah satu alternatif yang boleh dilaksanakan diseluruh UiTM bagi membantu pihak pengurusan UiTM dalam menyampaikan maklumat sahih secara terus kepada pelajar. Ia juga boleh dikolaborasikan bersama organisasi luar untuk menjana pendapatan melalui iklan yang dipaparkan di aplikasi ini. Dengan adanya aplikasi ini, secara tidak langsung dapat melahirkan masyarakat yang beretika dan bertanggungjawab dalam penyampaian dan penyebaran berita dan maklumat yang sahih. Meminimumkan risiko berita atau maklumat yang tidak ditentusahkan dan tafsiran yang silap.

Majlis pelancaran aplikasi KitaFSKM turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi dan koordinator  FSKM. Aplikasi KitaFSKM boleh dimuat turun dari GooglePlay  dan App Store.