Fakulti Pendidikan Penganjur Bersama Majlis Pelancaran dan Eksplorasi SULAM-Net

Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia, merupakan penganjur bersama bagi Majlis Pelancaran dan Eksplorasi SULAM-NET. Majlis yang dijadualkan pada 8 Oktober 2020 ini bakal dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, di Dewan Za’ba, Kementerian Pengajian Tinggi.

Bertemakan ‘SULAM as A Catalyst for Holistic Experiential Learning’, Majlis Pelancaran dan Eksplorasi SULAM-Net ini bakal mendekatkan lagi hubungan di antara industri dan komuniti melalui peranan penting yang dimainkan oleh universiti. Di samping pertukaran memorandum persefahaman yang melibatkan rakan-rakan komuniti universiti awam Malaysia, satu sesi ekplorasi atau perbincangan meja bulat akan turut diadakan. Objektif sesi ekplorasi adalah mencari penyelesaian praktikal kepada masalah atau isu yang dihadapi oleh 10 komuniti melalui perbincangan dengan wakil-wakil industri yang terpilih. Universiti-universiti awam Malaysia bertindak sebagai mediator di dalam sesi perbincangan ini dalam membantu komuniti mencari jalan terbaik kepada isu dan masalah yang dihadapi. Bantuan yang bakal diberikan oleh industri kemudiannya dimeterai dalam bentuk Penyata Deklarasi Usahasama.

SULAM merupakan singkatan kepada Service Learning Malaysia: University for Society, dan merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menggerakkan Anjakan 1 di dalam Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi).

Fakulti Pendidikan amat berbesar hati dipilih sebagai penganjur bersama. Beberapa siri mesyuarat dan sesi pertemuan telahpun dijalankan besama JPT dalam memastikan majlis bakal dilaksana seperti yang dirancang. Semoga majlis berlangsung dengan jayanya dan mendekatkan lagi hubungan di antara universiti, komuniti dan industri.