Forum Think Recycle: One Simple Act

SHAH ALAM – 22 Disember 2021, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati Sesi 2021/2022 UiTM Shah Alam dengan Kerjasama UiTM Green Centre (UGC), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Trash Hero telah mengadakan satu sesi forum yang bertajuk Think Recycle: One Simple Act melalui platform youtube Melati TV Official. Seramai 352 orang pelajar termasuk pelajar dari universiti lain dan dua orang panel jemputan telah terlibat dalam menjayakan forum ini.

Forum ini merupakan usaha Exco Akademik Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati Sesi 2021/2022, Farahnaz Mohammad Anwar bersama Penasihat Program Puan Nur Idzhainee Hashim untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kesedaran terhadap kepentingan mengitar semula bahan buangan dalam kalangan warga universiti. Selain itu, forum ini juga bertujuan untuk mewujudkan suasana kolej yang kondusif bagi melahirkan warga kolej yang mempraktikkan amalan hidup lestari dan memastikan aktiviti kitar semula sentiasa dijalankan dan diamalkan oleh semua pihak terutamanya warga universiti.

Forum Think Recycle: One Simple Act ini telah menampilkan panel pertama iaitu Prof. Ts. Dr. Zulkifli Bin Mohamad Ariff yang merupakan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM. Panel kedua pula iaitu Puan Rosnani Nazri yang merupakan Pengasas Trash Hero Perlis dan Kodiang.

Pengarah Program, Farahnaz Binti Mohammad Anwar berkata forum Think Recycle: One Simple Act ini telah memberikan impak dan maklum balas yang positif daripada para peserta. Justeru, program sebegini sangat penting kepada mahasiswa supaya kesejahteraan dan kualiti hidup dapat dikekalkan selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti. Lanjutan daripada itu, beliau juga berharap agar universiti dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang mempunyai minat dan sifat cinta akan alam sekitar.

“Matlamat saya dalam menjayakan forum Think Recycle: One Simple Act ini adalah untuk mengubah pemikiran mahasiswa menjadi lebih positif serta membuka mata seluruh masyarakat dunia terutamanya warga universiti untuk lebih peka dan serius menjaga alam sekitar” katanya.