Fakulti Farmasi, UiTM Bantu Kakitangan Terjejas Banjir

Seramai 22 sukarelawan Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menyertai misi bantuan pasca banjir bagi membantu mangsa banjir dalam kalangan kakitangan fakulti. Untuk rekod seramai 22 kakitangan Fakulti Farmasi telah terjejas akibat banjir di beberapa kawasan di Selangor seperti di Shah Alam, Meru, Bandar Bukit Raja dan Klang.

Sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan akademik telah bergabung tenaga untuk menjalankan kerja pembersihan di rumah-rumah yang teruk terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu termasuk dua buah rumah di Taman Meru Jaya. Hadir sama dalam program sukarelawan tersebut adalah Dekan Fakulti Farmasi, UiTM, Prof. Madya Dr. Shariza Sahudin.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah diucapkan kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan misi bantuan pasca banjir ini. Adalah diharapkan bantuan seumpama ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban serta memberikan sokongan kepada kakitangan yang terkesan dengan bencana banjir ini.