Forum Permainan Rakyat Sarawak 2023

Buat julung kalinya, Pengajian Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan sebuah program iaitu Forum Permainan Rakyat Sarawak 2023. Objektif program ini adalah untuk mengumpul, mendokumentasikan dan melakukan diskusi ilmiah mengenai permainan rakyat peribumi Sarawak khususnya kaum Iban dan Melanau. Dr. Ayu Haswida Abu Bakar, koordinator Bidang Penulisan Pengajian Seni Liberal menyatakan, forum ini adalah bersifat Pewarisan Budaya atau Culture Heritage yang berfokus kepada permainan tradisi masyarakat Sarawak. Definisi ‘keunikan’ terletak pada konsep forum ini iaitu seminar, pameran dan pertunjukkan permainan tradisional rakyat Sarawak yang tidak pernah dilangsungkan secara ilmiah di mana-mana universiti di Malaysia.

Program anjuran Pengajian Seni Liberal ini akan berlangsung selama satu hari iaitu pada 11 Januari 2023, di Dewan Annex, UiTM Shah Alam. Konsep acara terbahagi kepada empat (4) iaitu sesi forum, pameran permainan rakyat Sarawak, dan persembahan. Selain itu, terdapat juga sesi demonstrasi permainan dari suku kaum Melanau dan Iban seperti permainan Asin dan Batak Lampung yang akan diadakan bagi memberi peluang kepada penonton yang hadir untuk belajar.

Selain itu, program ini akan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi MARA, Prof. Dr. Mohamad Hariri Hj Abdullah. Manakala moderator acara Forum Permainan Rakyat Sarawak akan diketuai oleh Pensyarah, Pengajian Seni Persembahan, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA, Encik Abdul Walid Ali. Turut dihadiri oleh dua (2) orang panel jemputan yang hebat iaitu Encik Awangko’ Hamdan Awang Arshad, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sarawak dan Encik Zurairi Bin Hanip, iaitu Penolong Pengarah JKKN Sarawak.

Untuk pengesahan tentang maklumat lanjut berkenaan program Forum Rakyat Permainan Sarawak 2023, boleh hubungi Puan Darlina Baharuddin, di talian 019 – 204 9520 atau rujuk laman sosial rasmi Instagram @ForumPermainanSarawak23.

Puan Darlina Baharuddin
Ketua Penasihat Publisiti dan Promosi
Forum Permainan Rakyat Sarawak 2023
Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
EMAIL: darlinabaharuddin@uitm.edu.my
HP: 019 – 204 9520