Forum Penjagaan Kesihatan Perkukuh Kolaborasi Ilmu Antara MyHOPE FSK UiTM Dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Sabak Bernam (MITSSB)

Pada 13 Mac yang lalu, barisan panel My Health Outreach Programme (MyHOPE) dari Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah mengadakan satu forum kesihatan bersama para pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Sabak Bernam (MITSSB), Selangor. Forum ini merupakan kolaborasi antara pasukan MyHOPE FSK dengan Panitia Sains MITSSB. Kira-kira 300 orang pelajar dari Tingkatan 2 hingga Tingkatan 4 dan guru-guru telah terlibat dengan forum ini yang telah disampaikan oleh 5 orang panel MyHOPE dari pelbagai latar belakang bidang sains kesihatan.

Tujuan utama forum ini diadakan adalah bagi menyampaikan ilmu berkaitan penjagaan kesihatan secara menyeluruh dan bagaimana penjagaan kesihatan ini mampu mempengaruhi pembelajaran para pelajar. Forum selama 3 jam ini telah berlangsung dengan jayanya secara  3 pusingan yang diketuai oleh En Razif Dasiman, Pensyarah Kanan (Fisiologi) dari Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, selaku moderator forum. Para peserta forum telah dihidangkan dengan penerangan dan huraian ilmu penjagaan kesihatan dari panel-panel yang hadir. Antaranya ialah Dr Evana Kamarudin, yang merupakan Pensyarah Kanan (Hematologi dan Transfusi Darah) dari Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan UiTM yang telah membincangkan bagaimana kesihatan darah boleh mempengaruhi kesihatan dan jam biologi seseorang. Turut berkongsi ilmu sebagai panel kedua adalah Dr Fatin Nadzirah Zakaria yang merupakan Pensyarah Fisiologi dan Neurofarmakologi dari Jabatan Sains Asas, fakulti sains Kesihatan yang telah berkongsi berkaitan dengan bagaimana otak manusia dikawal dan mengawal tubuh badan dalam memastikan tubuh sentiasa sihat melalui pengawalan hormon, tingkahlaku, memori dan sebagainya. Panel ketiga pula merupakan seorang pegawai pemakanan pascasiswazah, En Muhammad Arif Fadluddin Md Dzahir yang berkongsi mengenai penjagaan kesihatan melalui diet dan pemakanan, penyakit-penyakit akibat pemakanan yang salah, keperluan tenaga dan berkongsi tips-tips pemakanan bagi pelajar dalam memastikan diet yang diambil adalah betul dan seimbang. Turut disajikan kepada para pelajar adalah perkongsian berkaitan pengurusan stress, jenis-jenis stress, pengurusan emosi dan teknik-tenik mengawal emosi “coping strategy” yang telah disampaikan oleh Cik Nurani Nordin yang merupakan pegawai pemulihan carakerja pascasiswazah dari Fakulti Sains Kesihatan UiTM. Dalam pada itu juga, semua panel juga ada membincangkan  tentang ketagihan penggunaan telefon bimbit dan kesan menonton video pornografi ke atas otak dan bagaimana ianya menyebabkan ketagihan dan mempengaruhi perubahan tingkahlaku dan fisiologi seseorang.

Menurut wakil pihak Panitia Sains MITSSB, Cikgu Nurul Najah binti Muah, forum kesihatan ini merupakan salah satu pengisian aktiviti semasa minggu pertama persekolahan dan merupakan inisiatif dari Panitia Sains dan Unit Kesihatan MITSSB untuk dilaksanakan bagi memastikan para pelajar cakna dengan kesihatan masing-masing. Selain itu, ianya juga merupakan medan bagi pihak sekolah untuk berkolaborasi dengan pakar-pakar bidang penjagaan kesihatan dari universiti dan juga peluang bagi para pelajar untuk mendapatkan tips-tips berharga dari pada panel forum yang hadir bagi memelihara kesihatan diri. Beliau juga mengharapkan agar para pelajar memanfaatkan program forum kesihatan ini sebaik-baiknya dengan bertanya soalan, menjawab soalan kuiz kesihatan yang disediakan dan sebagainya. Dengan moto sekolah “’Sabar, Sedia, Taqwa”, program forum ini juga disifatkan sebagai inisiatif terbaik dalam memperkasa institusi tahfiz ke arah melahirkan professional huffaz yang sihat tubuh badan, cergas dan mempunyai emosi yang stabil.

   

Dalam pada itu juga, forum kesihatan ini juga merupakan inisiatif projek MyHOPE FSK UiTM dalam menyahut cabaran pendidikan masa kini dalam penyampaian ilmu kesihatan kepada masyarakat luar selaras dengan prinsip Sustainable Development Goals (SDG) dalam mengintegrasikan SDG iaitu SDG 4: Pendidikan berkualiti, SDG 16: Kemampanan Institusi dan SDG 17: Kerjasama untuk mencapai matlamat bersama. Diharapkan, program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang supaya legasi bakal huffaz professional yang akan dilahirkan dari MITSSB merupakan legasi huffaz yang mempunyai kesihatan yang baik, sentiasa ceria dan cergas, bersemangat, dan boleh menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.