Forum – Komunikasi Efektif Bagi Pengurusan Projek Semasa Pandemik Covid-19

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat kumpulan BA2324A, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang telah menganjurkan program forum bertajuk Komunikasi Efektif bagi Pengurusan Projek Semasa Pandemik COVID-19 pada 26 Jun 2022 yang lalu.

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memenuhi keperluan silibus bagi kursus pengurusan projek (0PM655). Forum dalam talian ini juga dijalankan bagi mendapatkan pandangan dan perkongsian pengalaman mengenai komunikasi efektif bagi pengurusan projek terutamanya dalam menghadapi cabaran semasa pandemik COVID-19. Program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengajukan soalan semasa sesi soal jawab.

Penceramah dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu Prof. Ir. Dr. Ahmad Razlan dan Puan Ayu Syahirah Salem dari Syarikat BP telah dijemput untuk berkongsi pengalaman tentang pengurusan projek. penceramah menyentuh tentang senario pengurusan projek yang terkesan oleh pandemik COVID-19. Program ini telah dilaksanakan secara dalam talian menerusi pelantar Microsoft Teams. Para peserta yang mengikuti forum ini adalah seramai 73 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa program, pelajar UiTM, pelajar selain UiTM dan pensyarah.

Oleh yang demikian, menerusi program ini pelajar adalah digalakkan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka bagi meningkatkan lagi nilai dalam diri mereka. Secara tidak langsung, topik yang dibincangkan ini memberi gambaran sebenar kepada pelajar tentang realiti yang akan mereka tempuhi apabila mereka memasuki pasaran kerja setelah tamat pengajian nanti.

Justeru, selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG), SDG 4 iaitu kualiti pendidikan, PPPG akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia. PPPG yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah Asmui amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian PPPG dan UiTM Cawangan Pahang amnya.