Inspirasi Bersama Industri- FSR UiTM Cawangan Pahang, MASMED dan Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA, JULAI 2022 – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dengan kerjasama MASMED UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program “Inspiration with Industry” yang melibatkan Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. Program ini disertai oleh pelajar dan pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, wakil MASMED serta wakil CSR Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd., Encik Muhamad Alif Ismail dan Encik Muhamad Fikri Mahasan selaku panel penceramah bagi program tersebut.

Program yang melibatkan pihak industri ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan memberi galakan kepada pelajar Universiti dan Fakulti dalam menceburi bidang keusahawanan selari dengan Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) iaitu Agenda 1; Tiada Kemiskinan di mana pihak kampus telah menganjurkan program untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas untuk semua dan juga Agenda 8 ; Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi yang layak yang mana ia menitikberatkan penglibatan dalam bidang keusahawanan di kalangan pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi bagi menyokong kebolehpasaran pelajar dalam menceburi bidang keusahawanan.

Program Sesi I dimulakan dengan bual bicara bertemakan “Zero to Hero”. Pelajar didedahkan dengan identiti Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. yang memulakan perniagaan bidang peruncitan menjual barangan sukan di Malaysia. Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. menekankan asas keusahawanan Islam yang menjadi pegangan utama pengasas dan pemilik, Tuan Haji Ali Hassan Mohd Hassan iaitu “apabila mati anak Adam, maka akan terputus amalannya kecuali 3 perkara sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya. Berdasarkan pegangan itu menjadikan Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. membudayakan amalan sedekah (melalui keuntungan perniagaan disalurkan sebagai zakat dan sedekah) serta menjadikan perasmian setiap cawangan yang baru dilakukan oleh ibu beliau.

Penceramah juga menyatakan pelajar boleh mengadaptasi ilmu pengetahuan pengurusan sukan yang dipelajari di universiti di dalam konteks pekerjaan sebenar . Contohnya adalah seperti mengendalikan promosi barangan sukan, menguruskan kendalian alatan dan barangan sukan serta mengadakan program yang membolehkan penjanaan kewangan kepada syarikat tersebut. Seterusnya, program Sesi I ini turut diselitkan dengan sesi kuiz, soal jawab dan diakhiri dengan sumbangan kepada pelajar asnaf Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.

Bagi program Sesi II, lawatan ke Rumah Tunas Harapan Semai Bakti, Bandar Tun Abdul Razak Jengka telah diadakan. Program dimulai dengan penerangan mengenai pertubuhan dan tujuan Rumah Tunas Harapan Semai Bakti yang disampaikan oleh Encik Zikri, wakil Ahli Lembaga Pengurusan. Seterusnya, sumbangan makanan dan kewangan turut diberikan kepada wakil Rumah Tunas Harapan Semai Bakti. Program telah diakhiri dengan sesi bergambar.

Dengan adanya penganjuran program seperti ini, ianya dapat menghasilkan lebih banyak kerjasama di antara pihak universiti dan industri dalam melahirkan lebih ramai usahawan dikalangan pelajar universiti. Disamping itu, program ini juga merupakan salah satu inisiatif dalam usaha mendekati komuniti setempat yang akan memberi pengaruh yang positif dalam kalangan anak-anak muda untuk menceburi bidang keusahawanan.