Food Fest Casuarina

Pada 12 hingga 14 Januari 2023, telah dijalankan Food Festival Casuarina (FFC) bertempat di tapak Keusahawanan Icare, UiTM Kampus Puncak Alam. Program ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Casuarina dan Staf Pengurusan Kolej Casuarina. Festival yang berlangsung selama 3 hari ini telah melibatkan sebanyak 19 buah gerai jualan pelbagai makanan dan minuman. Dalam pada waktu yang sama, FFC juga menawarkan acara riadah berbasikal dan skuter elektrik yang boleh disewa oleh para pelajar.

Tujuan program ini dijalankan adalah bagi memberi peluang kepada para JPK Casuarina meningkatkan ilmu pengendalian pengurusan perniagaan dan dapat memberi peluang pilihan menu makanan yang pelbagai kepada para pelajar UiTM khususnya yang menetap di dalam kampus. Program ini dapat memberi impak yang sangat baik kepada kumpulan pelajar yang menguruskan festival ini dari segi pengetahuan dan pengalaman dalam berurusan dengan pihak peniaga makanan dari luar. Cabaran pengendalian festival ini amat memberi pengetahuan luas kepada mereka. Selain dari penjual dari pihak luar, terdapat juga beberapa buah gerai makanan yang dibuka oleh pelajar sendiri. Sokongan dan semangat yang diberikan oleh rakan-rakan mereka telah membuatkan para peniaga kalangan pelajar lebih berkeinginan untuk meneruskan usaha menceburi dalam bidang keusahawanan ini.

Dengan usaha yang dilakukan oleh JPK ini, diharapkan UiTM mampu melahirkan para pelajar yang mempunyai kemahiran dan keyakinan tinggi dalam mengendalikan urusan perniagaan serta secara langsung akan melahirkan pelajar yang holistik dan mempunyai semangat dalam bidang keusahawanan.