Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Pahang bersama Kelab Business Society sesi 2022/2023 telah melaksanakan Program Family Day: Ties that bind pada 16 Disember 2023 bermula jam 8 pagi sehingga 2 petang bertempat di Padang Bola Sepak, UiTM Kampus Raub. Program ini terbuka kepada semua mahasiswa dan pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Program ini diadakan adalah kerana terdapat segelintir mahasiswa yang kurang berkomunikasi sesama mahasiswa lain serta dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti kelab di universiti. Masalah ini boleh diatasi dengan program seperti ini agar mereka dapat merapatkan silaturrahim dalam kalangan mahasiswa. Impak aktiviti ini adalah dapat memupuk semangat daya saing, kesukanan dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa. Melalui program ini juga, mahasiswa dapat mengisi masa bersama-sama meskipun sibuk dengan persiapan bagi menghadapi peperiksaan akhir. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini adalah dirancang bagi menghasilkan satu platform semangat setiakawan dan kerjasama antara mahasiswa. Antara pengisian program ini meliputi aspek aktiviti sukan dan acara berkumpulan.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Samsuri bin Ghazali, Koordinator Pusat Pengajian Perbankan, FPP UiTM Pahang. Turut hadir bersama Cik Siti Syamira Mohd Ramli, Penasihat II Business Society. Anggaran mahasiswa dan pensyarah yang menyertai program adalah seramai 120 orang. Bagi melancarkan program, mahasiswa dan pelajar telah diagihkan mengikut kumpulan masing-masing. Pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti senamrobik santai dan sukaneka. Program dimeriahkan lagi dengan aktiviti kemuncak iaitu acara rebut kerusi dan tarik tali dalam kumpulan yang dijalankan secara spontan pada penghujung program. Semua pemenang dan peserta menerima hadiah berupa medal dan hamper daripada pihak penganjur. Secara keseluruhan, program ini dapat dijalankan dengan jayanya melalui bantuan daripada semua pihak. Pihak penganjur berharap program ini memberikan dampak yang baik kepada semua mahasiswa dan memberikan ruang untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mahasiswa dimana kesihatan fizikal dan mental dilihat sebagai aspek penting dalam pembentukan mahsiswa ceemrlang pada masa kini
Mahasiswa yang hadir ke program ini telah memberikan maklum balas positif berdasarkan soal selidik ketika program ini berlansung dengan harapan agar program seperti ini dapat dijalankan dengan lebih meriah pada masa akan datang. Ternyata program sebegini juga memberi impak kepada seluruh warga FPP. Sehubungan itu, FPP UiTM Pahang dan Business Society merancang untuk melakukan aktiviti seumpama ini secara berkala dan lebih menyeluruh agar dapat memupuk dan mengeratkan hubungan mesra antara mahasiswa dan pensyarah pada masa hadapan.