Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang Mengadakan Jalinan Industri

17-18 JUN 2022 – Telah berlangsung Bengkel Perakaunan Kerani Akaun 1 di Zenith Cameron, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang anjuran LKPP Corporation Sdn Bhd.

Bengkel ini dihadiri oleh Ketua-ketua Kerani seramai 47 orang dan 18 urusetia yang juga menjadi peserta bengkel. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memperkasa dan memperkukuhkan asas perakaunan yang merangkumi modul Pengenalan Kepada Prinsip Perakaunan, Kitaran Perakaunan, Klasifikasi Perakaunan, Persamaan Perakaunan dan Pembetulan Kesilapan.

Peserta menggunakan buku yang diterbitkan khas untuk bengkel ini bertajuk “Perakaunan Itu Mudah” (ISBN: 978-629-96870-0-9) yang sekali gus memenuhi PI057-‘Number of publication published by UiTM Press and other publishers’.

Bengkel yang diadakan selama 2 hari ini ditutup dengan rasminya oleh Tuan Haji Shahrumzaki Bin Hassan, Pengurus Besar LKPP Corporation Sdn Bhd. Beliau telah hadir untuk memberi sokongan dan menerangkan kepentingan untuk memastikan bahawa setiap Ketua Kerani menyediakan akaun secara telus dan tepat bagi menutup ruang teguran audit dan peluang untuk berlakunya penyelewengan.

Seramai 5 orang perunding yang diketuai oleh Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad bersama pengendali bengkel Puan Norlaila Md Din, Tuan Haji Azizi@Hamizi Hashim, Puan Sabariah Jamaluddin dan Puan Lily Mazlifa Mustafa telah membantu Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dalam menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu SDG4: Pendidikan Berkualiti.

Sebagai makluman, SDG juga dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari. SDG menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.