Fakulti Pengurusan Perniagaan Cawangan Pahang Dan Belia Felcra Tembeling Tengah Anjurkan Bengkel Kanvas Model Perniagaan

Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Belia Felcra Tembeling Tengah telah menganjurkan Bengkel Kanvas Model Perniagaan pada 15 Ogos 2022 di Dewan Serbaguna PSKK Tembeling Tengah. Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada program khidmat masyarakat fakulti yang dilaksanakan bagi membuka peluang kepada warga FPP UiTM Cawangan Pahang berbakti kepada masyarakat setempat melalui perkongsian ilmu yang berkaitan dengan Kanvas Model Perniagaan. Dengan ilmu yang dikongsikan, peserta-peserta bengkel dapat menggunapakai Kanvas Model Perniagaan bagi memacu kejayaan perniagaan yang mereka usahakan.

Bengkel selama 3 jam ini dilaksanakan dalam bentuk ceramah dan latihan dalam kumpulan (LDK). Penceramah serta fasilitator LDK adalah terdiri dari pensyarah-pensyarah FPP UiTM Cawangan Pahang. Bengkel turut dihadiri oleh Pengurus Felcra Tembeling Tengah, Encik Aminuddin Bin Mat Hatta. Di dalam ucapan aluan beliau, Encik Aminuddin menyarankan agar lebih banyak program kerjasama antara UiTM Cawangan Pahang dan Belia Felcra Tembeling dapat diadakan agar kemahiran ahli-ahli belia Felcra Tembeling Tengah dalam pelbagai bidang dapat dipertingkatkan.

Jalinan Kerjasama dengan Belia Felcra Tembeling Tengah ini diharap mampu meningkatkan tahap kemahiran belia Felcra khususnya di dalam bidang keusahawan disamping membuka peluang kepada staf fakulti untuk memberi impak berfaedah kepada kebajikan komuniti setempat. Pada masa akan datang, FPP UiTM Cawangan Pahang merancang untuk melibatkan pelajar UiTM di dalam program kerjasama dengan Belia Felcra Tembeling Tengah agar hubungan mesra dan kerjasama yang baik antara kedua pihak dapat diteruskan serta dipertingkatkan.