ESI & iDART 2.0 – UiTM Cawangan Puncak Alam

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, 20 November 2021: Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah menjalankan program ESI & iDART buat kali yang kedua bagi sesi 2020/2021 di platform Microsoft Teams. Program ini bermula pada 9.00 pagi hingga 11.30 pagi dan disertai oleh 68 orang peserta yang terdiri daripada wakil setiap persatuan dalaman dan SMF.

Seperti program yang lepas, program ini juga telah menjemput Prof. Madya Dr. Hajah Zuraeda Ibrahim iaitu Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Shah Alam, Selangor untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Importance of  ESI-iDART & ADAB for Keluarga UiTM”.

Objektif utama program ini dijalankan adalah untuk memperkenalkan dan memupuk nilai ESI iaitu akronim bagi Excellence, Synergy & Integrity serta nilai I-DART iaitu akronim bagi Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab untuk melahirkan mahasiswa yang profesional dalam berorganisasi. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membentuk mahasiswa yang mampu berfikiran rasional dalam membuat keputusan dan tindakan.

Pengisian program ESI & iDART 2.0 ini adalah mengenai penghayatan nilai-nilai ESI & iDART yang perlu diterapkan dalam diri mahasiswa untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang mahasiswa ataupun sebagai sebahagian masyarakat. Penceramah juga menekankan tentang kepentingan adab dalam diri seorang mahasiswa ketika menuntut ilmu kerana adab adalah tunjang utama kepada keberkatan ilmu. Sesi ceramah selama satu jam ini juga melibatkan peserta untuk menjawab soalan atau memberi pendapat tentang soalan yang diajukan oleh penceramah. Sehubungan itu, sesi ceramah ini melibatkan interaksi dua hala antara penceramah dan juga para peserta. Selepas itu, program diteruskan dengan sesi soal jawab selama 15 minit. Para mahasiswa menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaiknya untuk bertanya soalan kepada penceramah berkenaan ESI & iDART.

Melalui program ini juga, mahasiswa dapat mempersiapkan diri bukan hanya dengan ilmu daripada akademik tetapi juga ilmu daripada pengalaman menyertai program ESI & iDART ini. Oleh itu, program seperti ini diharapkan dapat diadakan lagi pada masa akan datang agar lebih ramai mahasiswa dapat memahami nilai-nilai ESI & iDART seterusnya dapat melestarikan nilai-nilai yang positif dalam diri individu mahupun berorganisasi.