IM-Vative, UiTM Cawangan Kelantan Diiktiraf PAR Excellence DI ICQCC 2021

Malaysia Productivity Corporation (MPC) telah membawa delegasi Malaysia ke 46th International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) 2021 anjuran Quality Circle Forum Of India (QCFI) yang berlangsung pada 24 – 27 November 2021. Konvensyen tersebut telah diadakan di Hyderabad, India dan turut bersiaran secara langsung melalui platform Zoom dengan kerjasama pihak MPC. Sebanyak 81 projek inovasi diwakili oleh 50 organisasi telah menyertai delegasi Malaysia.

Menerusi konvensyen tersebut, Kumpulan IM-Vative dari Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya mendapat Anugerah Par Excellence melalui projek IM-Vative Sandbox. Terdahulu, projek tersebut telah mendapat Penarafan Emas dan Anugerah IR4.0 di Konvensyen Team Excellence Peringkat Wilayah serta Penarafan Emas dan Anugerah 20 Kumpulan Terbaik Sektor Awam (Persekutuan) di Konvensyen Team Excellence Peringkat Kebangsaan anjuran MPC pada tahun 2019. Projek tersebut turut mendapat liputan media (RTM) pada tahun yang sama. Namun akibat kekangan pandemik, projek tersebut tidak dapat dibawa ke peringkat antarabangsa pada 2020, justeru, MPC menawarkan penyertaan delegasi pada tahun ini.

Sekalung penghargaan dirakamkan kepada pihak Institute of Quality and Knowledge Advancement (InQKA), UiTM kerana telah membiayai penyertaan tersebut dan kepada pihak Pengurusan UiTM Cawangan Kelantan atas sokongan berterusan yang telah diberikan kepada usaha inovasi warga UiTM Cawangan Kelantan.