EMPAT PELAJAR UITM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG 4.00

TAWAU, 9 September 2023 – Empat pelajar Pra Diploma Perdagangan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah meraih keputusan cemerlang dengan Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 4.00 dalam Penilaian Akademik Semester Mac – Ogos 2023. Pelajar tersebut ialah Mohamad Ahsyaz Ali Dad Khan, Muhammad Haikal Ajla Mohd Shahrizal, Nuur Rabiatul Adawiyah dan Alainie Aisyalin Mustalim. Mereka berjaya memperoleh keputusan gred A dalam semua kursus termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, Perakaunan dan Perniagaan, yang diumumkan secara rasmi melalui UiTM Student Portal pada Jumaat, 8 September 2023.

Selain itu, seramai 23 pelajar UiTMCSH Kampus Tawau juga direkodkan meraih keputusan HPNG 3.00 dan ke atas. Menurut Muhammad Haikal Ajla Mohd Shahrizal, dia rasa terharu dan tidak menjangka akan memperoleh 3A+, 2A dalam kursus yang didudukinya. Turut berkongsi kegembiraan, ibunya Rostifah Maruji, berasa amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan Haikal kerana segala usaha dan penat lelah anaknya akhirnya terbalas. “Kejayaan tidak datang dengan mudah, sebagai ibu bapa kita perlu memberi sokongan kepada anak-anak kita tetapi jangan sampai menekan,” kata Rostifah.

Manakala, Alainie Aisyalin Mustalim berkata, ibu bapa dan abangnya banyak membantu dalam pelajaran, selain pensyarah dan rakan-rakan. “Sejujurnya saya menjangka akan memperoleh keputusan lebih rendah daripada 4.00 dan rasa sangat bersyukur atas pencapaian ini,” kata anak keempat daripada lapan beradik yang bercita-cita untuk menjadi seorang peguam, selain minat menyanyi.

Untuk rekod, UiTM menawarkan lima program Pra Diploma iaitu Perdagangan, Sains, Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Agroteknologi dan Pengajian Islam.