Program ”Jejak Melayu di Bumi Jambi” merupakan satu inisiatif dari Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati sesi 2023/24 di bawah exco Pengantarabangsaan dan Hubungan Luar. Program yang dijalankan pada 14 hingga 20hb Ogos lalu telah disertai oleh lapan orang peserta terdiri dari kalangan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati. Objektif utama program ini adalah untuk melihat sendiri persamaan dan perbezaan antara bangsa Melayu di Jambi dan juga Melayu di Malaysia. Program ini telah mendapat kerjasama dari Universiti Jambi (UNJA) melalui pejabat pengantarabangsaan mereka dan kami ditemani oleh beberapa mahasiswa UNJA dari Indonesia dan juga antarabangsa sepanjang program ini berlangsung. Kami berkesempatan untuk melawat Rektor UNJA, Prof. Drs. H. Sutrisnodi pejabatnya dan dibawa melawat kawasan kampus di Mendalo.
Bagi memenuhi objektif program, kami telah mendapat satu taklimat khusus berkaitan dengan Hukum Adat Melayu Jambi yang diberikan oleh Datuk Mukhtat Agus Cholif S.H yang digelar Adipati Cendikio Anggoganto Rajo yang merupakan pakar adat melayu dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang berkenaan dan juga Datuk Dr. Ir. Teja Kaswari, pengurus Lembaga Adat Melayu Jambi yang juga wakil rektor Bidang Kemahasiswaan dan Alumni, UNJA.
Kami juga berkesempatan melawat pejabat Lembaga Adat Melayu Jambi di Kota Jambi dan telah mendapat penerangan oleh ahli Lembaga Adat Melayu Jambi iaitu Datuk Hassan Basri dan Datuk Muslim berkaitan dengan budaya melayu yang ada dan masih digunapakai oleh masyarakat Melayu di Bumi Jambi. Lembaga Adat Melayu Jambi berperanan mempromosi Kebudayaan Melayu di Jambi dengan cara menyampaikan ilmu kepada seluruh rakyat melalui sosialisasi, forum perbincangan, dan acara yang berkaitan dengan Kebudayaan Melayu. Di samping itu juga, mereka menyelia penggunaan peraturan berkaitan dengan identiti Kebudayaan Melayu, seperti Berseloko dan Berbalas Pantun dalam majlis rasmi.
Selain itu kami juga telah melawat tempat -tempat berkaitan seperti Muzium Siginjai, Muzium Perjuangan Rakyat Jambi dan Muzium Menara Gentala Arasy yang mempamerkan sejarah dan artifak berkaitan budaya Melayu dan Islam di Jambi. Tiga muzium ini memaparkan kelainan tersendiri dan khusus bagi pelawat yang ingin memahami sejarah dan budaya Jambi. Muzium Siginjai khusus mempamerkan artifak budaya melayu, Muzium Pejuangan Rakyat Jambi mempamerkan perjuangan Sultan Thaha Sharifuddin menentang penjajah manakala Muzium Menara Gentala Arasy pula mempamerkan perkembangan islam di bumi Jambi dari zaman Sultan Paduka Berhala sehinggalah kepada tuan guru yang ada sehingga hari ini.
Kami juga telah melawat Masjid Agung Al Fallah yang juga dikenali sebagai Masjid Seribu Tiang atas sebab masjid ini mempunyai banyak tiang yang menyokong struktur bangunan dan tidak mempunyai dinding sama sekali. Tapak masjid ini juga dipercayai merupakan pusat pemerintahan Kerajaan Melayu Jambi sebelum penjajahan Belanda.
Kami juga bernasib baik kerana berpeluang menyaksikan sambutan hari kemerdekaan Indonesia yang ke 78 dimana kami turut menyertai sambutan di peringkat universiti di UNJA dan juga melihat bagaimana sambutan perarakan yang dipanggil sebagai Pawai Kemerdekaan di Kota Jambi yang menampilkan bukan sahaja bersifat patriotik malahan perarakan turut disertai oleh kebudayaan yang ada di Bumi Jambi sendiri.
Penganjuran program ini bukan sahaja dapat memberi maklumat yang lebih dalam tentang budaya Melayu di bumi Jambi bahkan dapat memberi pengajaran yang khusus kepada semua peserta yang turut serta dalam menjayakan program ini.
Galeri Gambar: