Pensyarah Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi, UiTM Wakili Malaysia Di Dalam Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asia 2023

‘Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asia 2023’ telah berlangsung selama 2 hari bermula 19 hingga 20 Ogos 2023 bertempat di Imperial Hotel, Kuching, Sarawak, Malaysia. Majlis dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. Persidangan ini dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan Sukan Asia (AASM) dan ditaja oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Persidangan ini juga hasil kolaborasi antara Persatuan Pengurusan & Pentadbiran Sukan Malaysia (SMAS) bersama Kerajaan Negeri Sarawak bersama universiti-universiti di Sarawak iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Curtin University Kampus Malaysia dan juga Swinburne University of Technology Kampus Malaysia. Menariknya, 2 pensyarah kanan daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA iaitu Dr. M. Adli Mohd Sidi dan juga Dr Cassendra Gilbert juga terlibat sebagai pembentang persidangan ini mewakili akademia di Malaysia. Mereka merupakan pembentang tunggal dari negara ini disamping pembentang antarabangsa yang lain.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. Persidangan ini disertai 25 buah negara dan lebih 230 pembentang yang membentangkan hasil kajian akademik mereka di dalam bidang pengurusan dan pentadbiran sukan ini. Tema persidangan ini iaitu ‘Industri Sukan Asia dan Agenda Kelestarian: Tindakan dan Pendidikan Melalui Sukan’ telah menarik minat ramai pakar bidang di dalam pengurusan sukan di seluruh asia seperti Arab Saudi, Korea, Jepun dan lain-lain. Pelopor bidang ini hadir di kalangan pensyarah universiti mahupun daripada industri yang datang memberikan syarahan akademik dan juga perkongsian pengalaman di dalam beberapa sesi syarahan yang telah diaturkan bagi mempromosikan dan mengkongsikan acara sukan dan bidang sukan masing-masing.

Ucaptama sesi dimulakan dengan sesi syarahan daripada Presiden Persatuan Pengurusan Sukan Asia Cheng-Nan Kang daripada Taiwan. Sesi syarahan perkongsian pengalaman ini juga turut disertai beberapa persatuan sukan di Malaysia bagi mewakili Malaysia seperti Persatuan Hoki Ais Malaysia, Persatuan Sukan Permotoran Malaysia, Kesatuan Olahraga Malaysia dan juga Persatuan Bola Sepak Selangor.

Dengan terlaksananya persidangan antrabangsa ini, ia mampu membuka minda semua penggiat dan juga professional di dalam bidang pengurusan sukan seluruh asia untuk bertukar pendapat dan pandangan tentang kajian akademik, isu semasa dan lain-lain perkara berkaitan. Ini merupakan titik permulaan yang positif untuk negara bagi meningkatkan lagi kualiti dan kemahiran pengurusan sukan di dalam membangunkan dan menguruskan atlit dan juga perancangan Pembangunan sukan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan turut hadir untuk majlis penutupan. “Persidangan itu bukan sahaja tepat pada masanya tetapi juga relevan, memandangkan usaha kerajaan untuk membangunkan industri sukan di negeri ini khusus untuk persediaan SUKMA 2024 di Sarawak pada tahun hadapan” katanya. Tema persidangan AASM 2023 iaitu “Industri Sukan Asia dan Agenda Kelestarian: Tindakan dan Pendidikan Melalui Sukan”, sejajar dengan usaha kerajaan Sarawak untuk mengutamakan agenda kelestariannya.