‘Edu Week 5.0 2021’

UiTM Kampus Puncak Alam, 1 hingga 2 Oktober 2021 : Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK) Sesi 2020/2021 telah menganjurkan program ‘Edu Week 5.0 2021’ yang telah berkolaborasi bersama 9 buah Persatuan Dalaman Fakulti Sains Kesihatan yang lain. Program ini dijalankan bertujuan untuk memperkenalkan pengurusan tertinggi Fakulti Sains Kesihatan (FSK) seperti Dekan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik (TDHEA) dan Ketua Pusat Pengajian (KPP) serta memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu sebelum menjalani sesi perkuliahan di fakulti ini. Program ini telah melibatkan seramai 273 orang mahasiswa baharu dan beberapa orang Majlis Tertinggi persatuan dalaman yang ditugaskan sebagai ahli jawatankuasa program. Program ini telah diadakan secara atas talian berikutan pandemik COVID-19 yang masih menular di negara ini.

‘Edu Week 5.0 2021’ ini telah diadakan selama dua hari, di mana terdapat slot bersama Dekan, slot Bersama TDHEA beserta slot tutorial penggunaan iStudent Portal dan uFuture pada 1 Oktober 2021 menerusi Youtube Live Studio LENSA. Manakala, slot persatuan dan Ketua Pusat Pengajian (KPP) pula telah dijalankan pada 2 Oktober 2021. Platform yang digunakan bagi slot hari kedua ini adalah mengikut jumlah kapasiti yang boleh memuatkan pelajar baharu mengikut kursus pengajian. Antara platform yang digunakan ialah Google Meet, Free Conference Call dan Webex. Slot-slot seperti ini sangat berguna dalam memberi maklumat kepada para pelajar baharu disebabkan mereka tidak pernah diberi pendedahan berkenaan dengan sistem akademik yang telah disediakan oleh UiTM sebelum ini. Menerusi Youtube Live Studio LENSA, para pelajar boleh sentiasa rujuk semula video tutorial yang disediakan kerana video tersebut akan kekal di dalam Channel Studio LENSA sebagai rujukan kepada mereka.

Pada hari kedua, iaitu 2 Oktober 2021, slot persatuan yang dihadiri oleh Penasihat dan Majlis Tertinggi Persatuan organisasi masing-masing juga telah dijalankan. Slot ini membenarkan persatuan dalaman untuk membuat hebahan berkenaan dengan persatuan mereka serta memaklumkan para pelajar berkenaan dengan sumber rujukan yang mereka boleh hubungi jika terdapat sebarang persoalan atau permasalahan. Selain daripada itu, slot bersama KPP juga telah dilakukan bagi menerangkan perjalanan sesi perkuliahan mereka secara terperinci seperti penerangan berkenaan dengan kod-kod subjek yang mereka perlu daftar, sesi Online Distance Learning (ODL), sesi makmal dan juga sesi klinikal. Perkara-perkara seperti ini dapat memberi kebaikan kepada para pelajar kerana mereka dapat menjangka sesi-sesi yang bakal mereka hadapi pada semester-semester yang akan datang.

Program ‘Edu Week 5.0 2021’ ini telah mendapat maklum balas yang baik daripada mahasiswa baharu kerana program seperti ini sangatlah membantu mereka dalam menjalani sesi perkuliahan di UiTM Kampus Puncak Alam kelak. Diharapkan program seperti ini dapat diadakan lagi pada sesi yang akan datang untuk meraikan kedatangan mahasiswa baharu serta membantu mahasiswa baharu untuk membuat persiapan awal sebelum memulakan sesi perkuliahan.