Puncak Alam – Didik With Misa telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2021, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk memberi pendedahan berkaitan kepentingan kokurikulum dan kaedah pembelajaran bagi pelajar tingkatan satu, dua, dan tiga. Bagi tingkatan empat dan lima pula, mereka didedahkan dengan tips untuk skor SPM dan sedikit sebanyak pengenalan bagi program yang ditawarkan di Fakulti Sains Kesihatan.
Program ini telah berlangsung pada hari Sabtu, 22 Mei 2021 selama 3 jam iaitu dari 8 pagi hingga 11 pagi dan dijalankan melalui platform atas talian Google Meet. Untuk makluman semua, program Didik With Misa ini telah disertai oleh 40 orang mahasiswa dan mahasiswi dari Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan sebagai fasilitator, serta 100 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin, Taiping Perak yakni 20 orang pelajar bagi setiap tingkatan sebagai peserta. Apa yang lebih menarik lagi ialah, penasihat Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan iaitu Puan Lyana Shahirah Mohd Yamin dan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin iaitu Tuan Hj Mohd Noor Rashid Bin Kamaridi turut bersama menghadirkan diri bagi memeriahkan lagi majlis pada hari tersebut. Selain itu, terdapat dua orang wakil guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin juga telah menghadirkan diri dalam majlis penutupan program Didik With Misa ini.
Program Didik With Misa ini telah dimulakan dengan sesi pertama selama 1 jam iaitu pada 8 pagi dengan pengisian tentang kepentingan kokurikulum bagi pelajar tingkatan 1, 2, dan 3. Bagi pelajar tingkatan 4 dan 5 pula, mereka telah didedahkan dengan tips-tips untuk skor dalam SPM. Selepas waktu rehat, program ini diteruskan lagi dengan sesi kedua iaitu pada 9.30 pagi. Bagi pelajar tingkatan 1 hingga 3, sesi kedua ini telah menekankan tentang kaedah pembelajaran. Bagi tingkatan 4 dan 5 mereka telah diterangkan tentang program-program yang ditawarkan di Fakulti Sains Kesihatan dan turut menyentuh akan cara-cara membuat permohonan UPU. Para mahasiswa kelihatan sangat profesional dan yakin ketika memberi perkongsian dan ianya menjadi lebih meriah kerana para peserta turut memberikan kerjasama yang baik dan sentiasa memberikan respon ketika diajukan soalan.
Majlis penutupan program yang diadakan pada 10.30 pagi telah dimulakan dengan bacaan doa dan seterusnya ucapan secara maya daripada Puan Ann Erynna Lema Thomas Sudin, Ketua Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan. Kemudian, pengetua dan wakil guru Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin turut memberikan sepatah dua kata sejurus berkongsikan pendapat mereka tentang keseluruhan impak program. Menurut pengetua dan wakil guru SMK Doktor Burhanuddin, program seperti ini seharusnya dijalankan dengan lebih giat kerana ia telah memberikan banyak impak positif kepada mahasiswa sendiri dan terutamanya kepada para pelajar SMK Doktor Burhanuddin. Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi mampu meningkatkan keyakinan mereka dalam proses komunikasi bersama pelajar-pelajar.
Mereka juga secara automatik akan memperolehi ilmu yang baharu kerana mereka telah melakukan penyelidikan awal atas info-info yang akan dikongsikan bersama para pelajar SMK Doktor Burhanuddin. Semangat jitu yang ditunjukkan olah para pelajar SMK Doktor Burhanuddin mampu menaikkan semangat mereka sendiri untuk menjadi contoh yang terbaik buat bakal-bakal mahasiswa di masa hadapan. Melalui program Didik With Misa ini, para pelajar SMK Doktor Burhanuddin mampu merancang pengurusan pembelajaran mereka dengan baik kerana mereka telah didedahkan akan kaedah pembelajaran yang terbaik mengikut personaliti masing-masing.
Kesedaran tentang kepentingan kokurikulum di sekolah juga dapat dihadam oleh para pelajar dan hal ini sejurus menjadikan mereka lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum tidak kira di peringkat sekolah mahupun setelah berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Kerjasama antara Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan dan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin ini sudah pastinya mampu menaikkan nama UiTM Puncak Alam dan juga nama SMK Doktor Burhanuddin. Program Didik With Misa ini merupakan satu titik tolak agar para mahasiswa lebih yakin dan bersemangat untuk menganjurkan lagi sebarang aktiviti kolaborasi bersama pihak luar.
Secara kesimpulannya, program Didik With Misa ini sememangnya memberikan banyak impak positif sama ada kepada pihak penganjur mahupun para peserta. Kerjasama yang baik antara kedua-dua belah pihak iaitu dari Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan UiTM Puncak Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin telah menjadikan program ini berjalan lancar dengan penuh kemeriahan di samping masih mampu menekankan pengisian ilmu kepada para pelajar. Diharapkan agar penutupan program ini bukanlah titik pengakhiran kerjasama antara Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan UITM Puncak Alam bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin. Semoga lebih banyak program kolaborasi seperti ini dapat dijalankan di masa akan datang.