Pelajar FSKM Shah Alam Terpilih Sebagai Peserta Program UiTM Unicorn Scholar

Dua pelajar FSKM terpilih menyertai UiTM Unicorn Scholar Programme (USP) menewaskan ratusan permohonan yang berkelayakan. Pelajar-pelajar FSKM terdiri daripada pelajar semester 6, Muhammad Nurariff Bin Subri Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Pengkomputeran Perniagaan (CS264) dan Nur Syabil Saniy Bin Sidop@Ahmad Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Maklumat (CS246). Muhammad NurAriff Subri yang juga merupakaan antara peserta akhir MaGIC University Startup Challenge (USC) 2020 telah tampil dengan idea projek Kidzcar. Idea projek ini berkisar e-hailing service untuk pengangkutan anak-anak sekolah pergi dan pulang ke sekolah. Projek ini tercetus daripada kes-kes kemalangan yang melibatkan kanak-kanak sekolah yang semakin meningkat dan kesukaran rutin harian ibu bapa untuk menghantar dan menjemput anak-anak mereka ke sekolah.

Manakala Nur Syabil telah berjaya menawan hati juri dengan projek TapnLearn. Projek ini adalah platform tuisyen dalam talian yang menyediakan pelbagai sistem perkhidmatan dan pengurusan pembelajaran untuk pelajar seperti kelas dalam talian, dan mencari dan memadankan tutor. Aplikasi ini direka khas untuk mana-mana tutor yang berdaftar untuk menjalankan kelas tusiyen. Ia juga menggabungkan ciri-ciri seperti kelas dalam talian dan pada masa yang sama dapat menjimatkan kos-kos fizikal dengan sistem pengurusan yang baik.

UiTM Unicorn Scholar Programme (USP) merupakan satu program khas meningkatkan kompetensi pelajar dalam bidang keusahawanan. Program ini sangat menarik kerana menggabungkan khidmat permentoran bersama dengan khidmat permentoran dengan alumni usahawan UiTM (Alumni UiTM Business Network). Antara objektif utama program ini adalah untuk melatih dan membimbing pelajar-pelajar cemerlang akademik, memupuk minat keusahawanan pelajar, memberi peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan pelajar UiTM.

Majlis Prapelancaran UiTM USP di Hotel UiTM telah diadakan pada 18 Mac 2021. Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman. Yang turut hadir, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Profesor Dr Abdol Samad Nawi dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad.