Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat kumpulan BA2324B, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang telah menganjurkan program Dialog bertajuk Pengurusan Projek Secara Lokal dan Global pada 25 Jun 2022 lalu bagi memberi pendedahan kepada pensyarah dan pelajar berkaitan pengurusan projek.
Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memenuhi keperluan silibus bagi kursus pengurusan projek (OPM655). Program ini dijalankan sebagai medium pendedahan kepada pelajar untuk menguasai pengalaman mengendalikan program atau pengurusan acara. Program ini juga turut mengalakkan pensyarah dan pelajar untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak yang berkaitan seperti universiti dari dalam negara dan pihak industri.
Penceramah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Dr. Mohamad Faizal Ahmad Zaidi dan Encik Tarmizi Anuwar dari Institut Pengajian Kepimpinan, Selangor telah dijemput untuk berkongsi pengalaman tentang pengurusan projek. Penceramah menekankan bahawa pengurusan projek hendaklah memenuhi kehendak pelanggan dan memastikan projek siap pada masa dan kos yang dibenarkan serta memenuhi piawaian kualiti.
Program ini telah dilaksanakan secara dalam talian menerusi pelantar Microsoft Teams. Program ini telah disertai oleh 63 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa program, pelajar UiTM, pelajar selain UiTM dan pensyarah. Program ini juga membantu menerapkan kemahiran abad ke-21 terhadap mahasiswa seperti kemahiran komunikasi, kemahiran bekerjasama, kemahiran berfikir, kepimpinan dan kemahiran warga global yang mengutamakan sikap prihatin dan beretika dalam hubungan dengan masyarakat.
Justeru, PPPG sentiasa optimis dan jitu berusaha dalam memastikan kelestarian program-program yang berpaksikan Matlamat Pendidikan Berkualiti seiring dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG): SDG 4. Peranan UiTM sebagai laman ilmu yang mesra masyarakat perlu terus dikembangkan agar usaha membangunkan komuniti dapat dijayakan. Ianya seiring dengan usaha UiTM dalam mencapai ketampakan tersendiri, agar simbiosis yang mantap dapat terus dikekalkan antara UiTM dan setiap komuniti yang wujud dipersekitarannya. PPPG yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah Asmui amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian PPPG dan UiTM Cawangan Pahang amnya.