Dekan Fakulti Pendidikan Meriahkan ‘The Greatest Educators Talk Show’ Bersama Alumni

PUNCAK ALAM, 13 Julai 2023 – Tanggal 4 Julai 2023 yang lalu, Science Education Society (SEEDS), Fakulti Pendidikan telah menganjurkan sebuah majlis makan malam bertemakan, The Greatest Educators Talk Show di Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Majlis makan malam yang turut melibatkan satu sesi forum bersama alumni adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang pengalaman mengajar di sekolah. Sesi forum bersama alumni yang berlangsung telah berjaya memberi pendedahan kepada para pelajar Jabatan Sains, Fakulti Pendidikan tentang selok-belok serta onak dan duri alam sebenar merangkumi tugasan seorang guru di lapangan pengajaran.

Majlis makan malam ini turut dihadiri dan dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan. Turut serta bersama adalah Prof. Madya Dr. Mohd Khairezan Rahmat (Timbalan Dekan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Mawarni Mohamed (Ketua Pusat Pengajian (KPP) Sains, Matematik dan Pendidikan Jasmani & Kesihatan), Prof. Madya Dr. Nabilah Abdullah (Pengarah Pusat Akademik & Kepimpinan, Institute of Leadership and Development (ILD)), Encik Muhammad Furkan Mat Salleh (Koordinator Program Pendidikan Sains), Encik Mohamad Hisyam Ismail (Penasihat SEEDS), dan 517 orang pelajar SEEDS yang terdiri daripada pelajar Pendidikan Sains Biologi, Fizik, dan Kimia.

Majlis makan malam ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang alumni SEEDS, Encik Muhammad Firdaus Muhammad (Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Encik Muhammad Ridhwan Mat Salleh (Setiausaha Sulit Menteri Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia), Encik Mohamad Ikhmal Hakim Mohamad Jamil (Pengarah Urusan MiH Reka Bina Sdn. Bhd. & MiH Hardware Trading Sdn. Bhd) dan Puan Nurul Najwa Addawiyah Shahidan (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru Siswazah)).

Satu slot khas penganugerahan Sijil Anugerah Dekan juga telah dilaksanakan bagi para pelajar SEEDS yang telah meraih gred purata 3.5 dan keatas bagi semester yang lalu. Tujuan anugerah ini diberikan kepada para pelajar cemerlang akademik adalah bagi menaikkan semangat dan sekaligus meningkatkan lagi prestasi bagi semester akan datang. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan-persembahan pelajar daripada setiap semester juga diselang-selikan dengan cabutan bertuah yang ditaja khas oleh Syedewa Cosmetics, sumbangan para pensyarah, pelajar dan lain-lain. Besar harapan agar majlis yang telah dijalankan ini dapat memberi pelbagai impak yang positif kepada pengalaman kehidupan kampus para pelajar SEEDS.