‘Coaching Mastery with The Expert’ – Collaborative Teaching

Seiring dengan perubahan bagi penambahbaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P), pihak Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah mengadaptasikan kaedah ‘Collaborative Teaching’ di dalam kebanyakkan kursus yang ditawarkan. Antaranya adalah kursus ‘Applied Principles of Sport Coaching’ (SPS655) bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (SR243) semester enam, dan ini adalah kali kedua dibuat dengan kerjasama dari pihak pakar dari industri. Oleh itu, pada tarikh 29 November 2023, telah berlangsung program ‘Coaching Mastery with The Expert’ yang bertempat di Dewan Auditorium Al-Biruni 1, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka. Program tersebut telah dianjurkan dengan jayanya oleh 39 orang pelajar di bawah keperluan kursus SPS655. Panel jemputan program adalah terdiri daripada Encik Nor Ikhmar Madarsa, seorang jurulatih kekuatan dan suaian fizikal untuk pasukan professional bola sepak Negeri Sembilan F.C di mana beliau dijemput atas dasar mempunyai kepakaran tinggi di dalam konteks kejurulatihan dan periodisasi sukan. Beliau juga pernah terlibat sebagai jurulatih kekuatan dan suaian fizikal bagi pasukan bola sepak remaja negara beberapa tahun yang lepas. Program ini juga diiringi oleh pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi iaitu Dr. Mohd Zulkhairi Mohd Azam selaku penasihat program.

Program yang dijalankan dengan dua sesi iatu sesi tengahari untuk syarahan dan perkongsian teori, manakala sesi petang pula adalah sesi praktikal kejurulatihan di atas padang. Melalui pelaksanaan program tersebut, para pelajar dapat menglihat pengalaman Encik Nor Ikhmar di dalam menguruskan periodisasi latihan kekuatan bagi pemain bola sepak professional. Di antara perkongsian-perkongsian tersebut adalah tips dan ilmu untuk tentang cara mengendalikan latihan yang efektif, pemantauan prestasi atlet, mengurangkan risiko kecederaan serta cara untuk mengatasi masalah prestasi merundum mengikut kepada aspek sains sukan. Selain daripada itu, pelajar juga didedahkan dengan cara bagaimana sesuatu latihan itu dapat dijalankan baik serta kaedah untuk memastikan atlet dapat memahami dan menguasai hasil daripada latihan itu sendiri.

Program seperti ini dapat memberi pelbagai manfaat kepada para pelajar kerana mereka bukan sahaja mendengar dalam bentuk teori, para pelajar juga dapat mempelajari teknik dan tips yang lebih efektif untuk dipraktikkan kepada atlet yang beprestasi tinggi. Ilmu yang dicurahkan pada program kali ini juga boleh diaplikasikan dalam sukan yang lain kerana walaupun teknik berbeza tapi konsepnya masih sama walaupun sukan yang berbeza. Pelajar juga dapat menambah keyakinan diri masing-masing di dalam mempelajari selok belok kejurulatihan dan periodisasi sukan serta serba sedikit memahami bagaimana cara kerja yang sesuai apabila berkerja dengan industri luar. Akhir kata, para pelajar berharap dapat melakukan program seperti ini lagi kerana cara ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dengan lebih efektif dan dapat membuat persediaan untuk menghadapi kehendak dunia pekerjaan kelak.