Ceramah Ambang Ramadhan dan Kemuliaan Ramadhan Bersama Komuniti

Beaufort, 18 Mac 2023 – Bahagian Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Sabah dengan kerjasama Ketua Kampung dan Masjid Kariah Kampung Padas, Beaufort telah menganjurkan program berkongsi kepakaran dan khidmat bersama komuniti melalui Ceramah Ambang Ramadhan dan Kemuliaan Ramadhan Bersama Komuniti Kampung Padas, Beaufort, Sabah. Program ini telah disertai seramai 100 penduduk kampung yang bermula jam 7.00 malam sehingga 10.00 malam di Masjid Kariah Kampung Padas, Beaufort.

Ceramah Ambang Ramadhan dan Kemuliaan Ramadhan ini disampaikan oleh Ustaz Asley Josley, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Sabah menerangkan tentang bulan ramadhan, kepentingan dan kebaikan berpuasa, amalan terbaik sepanjang bulan ramadhan dan perkara yang membatalkan puasa. Pengisian ceramah ini memberi nilai tambah kepada penduduk kampung dan menambah ilmu pengetahuan baharu penduduk kampung bak kata pepatah yang lama dikelek, yang baharu didukung.

Ketua Kampung / Ketua Masjid Encik Md Latif Bin Uji merakamkan penghargaan terima kasih kepada UiTM Cawangan Sabah khususnya Jawatankuasa Utama Program iaitu Encik Mohd Halimon Hj Abd Rahim, Staf UiTM Cawangan Sabah di atas peluang dan penganjuran program ini dalam memberi nilai tambah kepada pengetahuan penduduk kampung dan membantu persiapan menyambut ramadhan. Program kolaborasi dan berkongsi kepakaran universiti bersama komuniti setempat ini amat bermanfaat kerana ia membantu penduduk kampung khususnya yang kurang mendapat pendedahan ilmu, membangun kecemerlangan diri, meningkatkan amalan positif serta memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat.