UiTM Cawangan Selangor (UCS) Pertahan Kejuaraan KARISMA 9 Tahun Berturut-turut

4 Mac 2024 – UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah mengukir nama dan sejarah apabila sekali lagi dinobatkan Juara Keseluruhan pada Karnival Sukan Mahasiswa (KARISMA) Kali Ke-29 Tahun 2024. Karnival yang berlangsung selama 9 hari, bermula 25 Feb hingga 4 Mac 2024 di UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau itu telah melibatkan 14 kontijen dari seluruh UiTM.

 

Piala kemenangan kali ke-9 berturut-turut buat UiTM Cawangan Selangor telah disambut oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor pada majlis penutup yang dirasmikan oleh YBrs. Profesor Dr. Yamin Yasin, Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan. UiTM Cawangan Selangor dinobatkan juara keseluruhan KARISMA 2024 dengan pungutan 28 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa. Turut hadir memeriahkan sambutan kemenangan itu adalah YBrs. Profesor Madya Dr Badrul Isa, Timbalan Rektor HEP, barisan jurulatih dan pegawai sukan yang mengiringi kontijen pelajar. Kontinjen UiTM Cawangan Selangor telah diwakili oleh seramai 164 orang atlet yang bertanding dalam 14 acara sukan yang dipertandingkan.

Terima kasih dan syabas diucapkan kepada kontinjen UiTM Cawangan Selangor yang telah bertungkus-lumus mempertahankan KEJUARAAN kali ke-9 ini. Jumpa lagi di KARISMA 2025 di UiTM Johor!

#UCSCemerlang