BULETIN PENGARAH PERJUMPAAN DEKAN FSK BERSAMA PELAJAR BAHARU 2023

PUNCAK ALAM, 2 Oktober 2023 – Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam Sesi 2022/2023 telah melaksanakan program Perjumpaan Dekan FSK Bersama Pelajar Baharu 2023 secara bersemuka. Program ini diadakan di Dewan Kuliah 1 dan 2 Bangunan FSK 7 yang bermula pada pukul 8.45 pagi sehingga 5.00 petang. Program ini telah disertai oleh Dekan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, 8 orang Ketua Pusat Pengajian serta 483 orang mahasiswa baharu pengambilan sesi Oktober 2023/2024.

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan Dekan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri kepada mahasiswa baharu. Selain itu, program ini turut dijalankan bagi mendedahkan para pelajar terhadap sistem kewangan, zakat dan fasiliti kepada para mahasiswa baharu di samping memastikan pelajar-pelajar bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menghadapi kehidupan sebagai seorang mahasiswa di UiTM Puncak Alam.

Program dimulakan dengan penyampaian amanat daripada Prof. Dr. Zulkhairi Bin Haji Amom, Dekan Fakulti Sains Kesihatan yang seterusnya merasmikan program Pejumpaan Dekan FSK Bersama Pelajar Baharu 2023. Para mahasiswa seterusnya diperkenalkan dengan semua Ketua Pusat Pengajian (KPP) bagi 8 kursus pengajian iaitu Kejururawatan, Fisioterapi, Pengimejan Perubatan, Teknologi Makmal Perubatan, Dietetik, Pemulihan Cara Kerja, Kesihatan Persekitaran, dan Optometri. Setelah itu, mahasiswa baharu mendengar taklimat berkaitan hal-hal akademik yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Siti Nazrina Binti Camalxaman secara bersemuka setelah taklimat ini telah dijalankan secara atas talian pada tahun sebelum ini atas alasan yang tidak dapat dielakkan.

Program turut dilanjutkan lagi dengan slot bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, En. Romizan Bin Jathin yang memberi taklimat ringkas berkaitan pengurusan para pelajar di UiTM Puncak Alam. Slot seterusnya iaitu slot Taklimat Kewangan dan Zakat yang disampaikan oleh En. Muhammad Faisol Bin Alwi, beliau memberikan pendedahan berkaitan sistem zakat dan prosedur untuk membuat permohonan zakat serta hal-hal kewangan lain yang wajar diketahui oleh mahasiswa baharu. Program pada sesi pagi diakhiri dengan ceramah “Mental Health Among Students” yang disampaikan oleh seorang Perunding Psikologi Klinikal yang berkaliber iaitu Dr. Kartini Binti Ilias. Pelbagai informasi bermanfaat yang diperoleh sepanjang sesi taklimat dan perkongsian.

Pada slot petang pula, program diteruskan dengan slot taklimat “Penggunaan Student Portal” yang disampaikan oleh Exco Akademik SMF 2022//2023. Para pelajar diberi peluang untuk bertanya mengenai permasalahan akademik yang dihadapi oleh mereka. Seterusnya, program dilanjutkan dengan slot Ramah Mesra MPP dan SMF secara santai. Akhir sekali, program diakhiri dengan slot pelepasan para pelajar kepada presiden persatuan dalaman masing-masing bagi tujuan beramah mesra serta lawatan mahasiswa ke bangunan kuliah.

Melalui program ini, pihak pengurusan Fakulti Sains Kesihatan dapat diperkenalkan kepada mahasiswa-mahasiswa baharu terutamanya Dekan, timbalan-timbalan dekan serta ketua-ketua pusat pengajian sekali gus berupaya mempersiap mahasiswa baharu dengan informasi yang dapat membantu mereka menjadi mahasiswa berjaya.

Secara keseluruhan, pihak Fakulti Sains Kesihatan berharap agar program ini dapat membantu mahasiwa baharu mempersiapkan diri di samping melahirkan mahasiswa yang proaktif, dinamik dan cemerlang pada masa hadapan.

Disediakan oleh:
NURUL AQILAH BINTI MURIZAM
Exco Kepimpinan dan Kesukarelawanan
Sekretariat Mahasiswa Fakulti,
Fakulti Sains Kesihatan,
Sesi 2022/2023