Puncak Alam – Webinar Breast Cancer Awareness: Beyond the Pink Words telah dianjurkan oleh Pelajar Semester Empat Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan UiTM dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Program ini dianjurkan dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya kanser payudara, menerapkan kemahiran pemupukan semangat kepada penghidap kanser dan mengutip dana untuk disumbangkan kepada pesakit kanser payudara.
Pendaftaran bagi webinar ini telah dibuka bermula pada 27 Jun 2021 di mana peserta juga berpeluang memilih rekaan kad ucapan yang akan disampaikan kepada pesakit kanser payudara. Webinar ini telah telah berlangsung pada 17 Julai 2021 menggunakan platform atas talian Webex yang berdurasi selama 2 jam dari 2.00 petang hingga 4.00 petang. Program ini telah menerima penyertaan seramai 111 orang termasuk pelajar UiTM sendiri, para guru, pensyarah mahupun orang awam. Kehadiran penceramah jemputan dari Majlis Kanser Nasional (MAKNA) iaitu Puan Siti Dahlia Bt Che Mat Riffin, telah menjadi akar tunjang kepada kejayaan kelangsungan program. Puan Siti Dahlia Bt Che Mat Riffin merupakan Ketua Jururawat dari MAKNA.
Program ini bermula dengan bacaan doa untuk memberkati majlis dan seterusnya ucapan daripada Pengarah Program, Nurin Athirah Binti Zaidi. Program diteruskan dengan tayangan video mengenai kesedaran masyarakat tentang kanser payudara. Sesi perkongsian ilmu daripada penceramah bermula pada jam 2.25 petang. Puan Siti Dahlia memulakan ceramah beliau dengan menjelaskan definisi kanser, kesan serta ciri-cirinya. Kemudian, beliau menceritakan tentang pengesanan awal kanser, jenis-jenis dan mitos mengenai kanser payudara dan kaedah rawatan kanser.
Beliau juga menekankan tentang kepentingan dan cara-cara melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) dan Clinical Breast Examination (CBE) sebagai langkah awal untuk mengesan kanser payudara. Sebelum sesi berakhir, program diteruskan dengan sesi soal jawab yang dilihat telah mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila banyak soalan yang telah diajukan oleh para peserta kepada penceramah. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan dengan ucapan Ketua Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan, Puan Ann Erynna Lema Thomas Sudin.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif dan matlamat yang dirancang iaitu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya kanser payudara dan kepentingan pengesanan awal kanser payudara. Sejumlah wang kutipan dana dan kad ucapan juga telah berjaya dikumpul untuk disalurkan kepada pesakit-pesakit kanser payudara melalui pihak Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Diharap, program berbentuk ilmiah seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan.