Bicara Khas bersama Peguam: Webinar Harta Sepencarian dan Faraid

Tapah, Perak – Melihat kepada rentetan kontroversi kisah perjuangan balu Allahyarham seorang selebriti Malaysia yang menuntut hak faraid selepas kematian suaminya, ini merupakan salah satu contoh kisah benar yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Situasi ini membuktikan masih ramai yang kurang memahami erti sebenar disebalik isu harta sepencarian dan faraid.

Untuk itu, pada 08 Mac 2023 yang lalu, dengan kerjasama daripada Tetuan Hidayah Muslimah & Co., pihak Jabatan Undang-Undang (JUU) dari UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah mengambil tanggungjawab untuk mengadakan satu webinar, berdurasi dua jam di platform Webex Cisco, bertajuk Harta Sepencarian dan Faraid. Program ini juga diadakan selari dengan objektif Hari Wanita Antarabangsa iaitu didedikasi kepada semua wanita yang telah berjuang untuk menegakkan hak wanita terutama dalam kehidupan berumahtangga.

Umum mengetahui kontroversi isu ini sering melanda masyarakat Malaysia dan menjadi pertikaian antara ahli keluarga. Bertujuan menambahkan ilmu dan mengukuhkan pengetahuan tentang topik ini, pihak JUU UiTM Tapah telah menjemput seorang Peguambela, Peguamcara dan Peguam Syarie, Puan Noor Hidayah Binti Mohd Saad dari Tetuan Hidayah Muslim & Co. untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau sepanjang berkhidmat sebagai seorang peguam mengendalikan kes sedemikian. Selain itu, tujuan webinar tersebut diadakan adalah untuk berkongsi ilmu dari perspektif undang-undang di Malaysia yang dapat memberi manfaat kepada para muslim yang akan berhadapan dengan isu ini apabila meninggal dunia. Dalam masa yang sama, program ini juga dapat membantu dalam menjawab persoalan atau keraguan hadirin berhubung harta sepencarian dan faraid bersama dengan peguam syarie yang bertauliah dalam bidang ini.

Mengetengahkan konsep wawancara dan soal jawab dalam webinar kali ini, lebih daripada 700 peserta webinar telah hadir dan mengambil peluang untuk bertanyakan secara langsung kepada panel peguam jemputan istimewa. Perkongsian yang disajikan selama dua jam itu sangat memberi input yang penting kepada para hadirin, terutamanya telah membuka banyak mata tentang kepentingan mendokumentasikan semua transaksi sepanjang perkahwinan untuk kegunaan pada masa hadapan. Di samping itu, para hadirin didedahkan tentang prosedur dan langkah-langkah yang perlu diketahui untuk menuntut hak harta sepencarian dan harta faraid apabila berlakunya pertikaian kelak. Buat hadirin yang tidak berkesempatan untuk menyertai webinar tersebut, boleh tonton rakaman webinar melalui saluran Youtube Jabatan Undang-Undang UiTM Tapah atau di pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=3HIMjpn6_xc

Pihak JUU mengucapkan jutaan terima kasih kepada Puan Noor Hidayah dari Tetuan Hidayah Muslimah & Co. atas kesudian menerima jemputan untuk memberi perkongsian yang sangat bermanfaat buat semua hadirin dan masyarakat setempat. Penyertaan kali ini bukan sahaja dari kalangan staf UiTM, malah disertai oleh peserta luar dari pelbagai latar belakang. Maklumbalas yang diberikan oleh peserta sangat positif untuk pihak JUU terus mengadakan webinar dan pendedahan sebegini dan mengupas topik-topik berkaitan yang lain, seperti hibah dan sebagainya. Terima kasih diucapkan kepada semua hadirin dan peserta webinar yang sudi bertanyakan soalan dan sertai sesi webinar tersebut. Semoga Allah memberkati usaha dan semangat semua hadirin, dan ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada semua.