Bengkel Pengukuhan Strategi MyRA G6

Bengkel Pengukuhan Strategi MyRA G6

Shah Alam, 15 Mac 2023 – Pusat Jaringan Komuniti (CNC), Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan Bengkel Pengukuhan Strategi MyRA G6 yang dirasmikan oleh Profesor Dr Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN. Bengkel tersebut berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 Mac 2023.

Tujuan utama bengkel yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Mahadir Ladisma @ Awis, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti adalah untuk membantu memperkasakan projek komuniti dan memastikan setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) memahami kriteria projek komuniti berimpak yang dijalankan untuk memenuhi keperluan Malaysian Research Assessment (MyRA). Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta dalam penggunaan Sistem PRIMe Star Rating.

Bengkel ini terdiri daripada dua sesi taklimat. Sesi taklimat pertama bertajuk “Projek Komuniti MyRA G6” telah disampaikan oleh Profesor Madya Ts Dr Saiful Izwan Suliman, Ketua Data Penyelidikan, Research Management Centre (RMC), UiTM dan Dr Amirah Abdul Rahman, Koordinator Etika Penyelidikan RMC. Sesi taklimat yang kedua pula mengenai “Sistem PRIMe Star Rating” telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr Sukreen Hana Herman, Ketua Unit Pusat Jaringan Komuniti, ICAN.

Pada hari kedua, fokus diberikan kepada pendaftaran projek Komuniti MyRA G6 bagi setiap PTJ, diikuti dengan sesi soal jawab dari para peserta. Majlis penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Profesor Dr Nor Azura Md. Ghani, Pengarah RMC.

Diharapkan melalui bengkel ini, kesedaran tentang kepentingan untuk mendaftar projek komuniti di Sistem PRIMe Star Rating dapat ditingkatkan, sehingga dapat membantu meningkatkan skor MyRA universiti.