BHEP UiTM Perkasa Pengurusan Risiko

23 September 2022 – Shah Alam, Risiko adalah halangan yang menjejaskan kemampuan UiTM daripada mencapai objektif, pengurusan dan aktivitinya sebagaimana yang telah diamanahkan oleh pelanggan dan pemegang taruh keatasnya. Iltizam UiTM adalah untuk menguruskan risiko secara proaktif dan bertanggungjawab bagi memastikan objektif Universiti tercapai. Polisi Pengurusan Risiko Universiti diwujudkan untuk memastikan pengurusan risiko adalah perkara yang utama, nyata dan konsisten di dalam rutin pengurusan aktiviti melangkaui setiap aspek perkhidmatan.

Bengkel Pengurusan Risiko Pusat dan Unit Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah dijalankan di Dewan Seminar Kolej Mawar, UiTM Shah Alam yang melibatkan semua penyelaras risiko yang mewakili pusat dan unit BHEP. Bengkel ini merupakan satu pendedahan dan bimbingan kepada semua penyelaras risiko pusat dan unit demi kecemerlangan aspirasi Pelan Strategik UiTM 2025, dalam mencapai Global Renowned University (GRU) 2025.

Bengkel ini terdiri daripada beberapa sesi bagi memastikan pengisian bengkel adalah dipenuhi dengan ilmu-ilmu bermanfaat yang dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Noor Afzan Zakaria selaku Wakil BHEP, diteruskan pula dengan sesi pertama iaitu pengenalan kepada pengurusan risiko uitm daftar risiko dan Sistem e-RMS.Sesi kedua diteruskan dengan proses mengenalpasti risiko pusat dan unit BHEP disambung dengan pembentangan senarai risiko pusat dan unit BHEP oleh setiap penyelaras risiko dan sesi terakhir iaitu muatnaik senarai daftar risiko konsistem e-RMS. Bengkel kali ini turut dihadiri oleh dua orang penceramah dan dua orang fasilitator dari Unit Pengurusan Risiko UiTM.

Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memastikan setiap penyelaras risiko dapat menyediakan senarai risiko yang tepat di pusat dan unit masing-masing di samping memastikan BHEP sentiasa bersedia dan serius dalam penyediakan dokumen atau laporan berkaitan pengurusan risiko dengan berkesan. Selain itu, bengkel ini juga adalah untuk mencapai objektif yang terpenting iaitu memastikan semua penyelaras risiko memahami proses penyediaan dan pemantauan risiko. Bengkel ini merupakan satu bengkel yang memberi impak yang positif dari setiap sudut terutamanya dari segi mewujudkan jalinan kerjasama dengan pihak Bahagian Transformasi Universiti (BTU) bagi memastikan BHEP sentiasa bersedia dan tepat dalam membuat pelaporan.