‘Beyond by Bold 2024’ pamerkan 115 Karya Pelajar di Fahrenheit 88, Bukit Bintang Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 10 Februari 2024 –  115 orang pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian) dari Bidang Seni Reka Grafik dan Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Kampus Puncak Alam diraikan dalam satu pameran yang julung kali diadakan di Fahrenheit, Bukit Bintang Kuala Lumpur. Pameran ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

“Pameran Beyond by Bold hari ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan saya percaya,  platform ini akan membuka lebih banyak peluang rangkaian dan kerjasama bersama pihak industri untuk mencetus lebih banyak idea, kreativiti dan inovasi yang boleh dikomersilkan seterusnya melonjakkan kebolehpasaran graduan dalam bidang seni kreatif” ujar Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan.

“Sambut cabaran, manfaatkan peluang dan kita perlu sentiasa percaya bahawa suara kreatif anda mempunyai kuasa untuk bergema jauh melangkaui batasan pameran pada hari ini” ujar Profesor Dr Shahanum Md Shah , Penolong Naib Canselor KPSK,  dalam ucapannya. Turut hadir di pameran tersebut adalah pengurusan tertinggi KPSK dan UiTM secara amnya.

Beyond by Bold ini merupakan pameran pelajar tahun akhir program siri yang ke – 21 yang melibatkan pelajar tahun akhir semester 06 dari empat bidang pengkhususan iaitu Advertising, Graphic Design, Illustration, danMultimedia.

 

 

Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, khususnya Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, UiTM Kampus Puncak Alam merupakan penganjur utama pameran pada hari ini. Selain pameran hasil karya pelajar, pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan seperti  Design Sharing Session dari tokoh- tokoh industri kreatif, Design and Art Workshops dan  Design Skills Demonstrations yang juga dianjurkan sepanjang program sebagai satu inisiatif kreatif dan platform dalam mengukuhkan perhubungan berterusan di antara akademia, industri dan komuniti. Pameran Beyond by Bold 2024 telah berlangsung selama lima hari bermula 10 hingga 14 Februari di aras 2, Fahrenheit Bukit Bintang , Kuala Lumpur.

Tahniah diucapkan kepada semua pelajar tahun akhir Jabatan Grafik dan Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM kampus Puncak Alam.