Bertaut pada Peluang dan Kelestarian: Kursus Hidroponik sebagai Perubahan Paradigma untuk Golongan OKU

Seri Iskandar, 2 Januari 2024 – Dalam usaha untuk memberikan peluang yang lebih saksama kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Kursus Asas Hidroponik di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar, Perak telah dijalankan oleh Jabatan Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina UiTM Perak, Kampus Seri Iskandar. dengan kerjasama daripada Pejabat Pertanian Daerah Perak Tengah. Program yang telah berlansung selama lapan hari di antara 11 September 2023 hingga 24 Oktober 2023 ini adalah merupakan sokongan dan tajaan oleh Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).

SKUM, yang ditubuhkan sebagai titik rujukan Malaysia dengan UNESCO, telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di negara ini. Program yang dijalankan ini adalah sejajar dengan misi SKUM untuk melibatkan golongan OKU dalam aktiviti pembangunan mampan dan merangkumi aspek pendidikan, sains, sains sosial, komunikasi, dan kebudayaan. Maka tumpuan program ini tidak hanya memberikan bantuan dan input teknologi pertanian kontan, tetapi juga membuka peluang baru kepada 40 peserta daripada pelajar OKU.

Objektif utama program ini adalah termasuk pemindahan pengetahuan tentang penyelenggaraan hidroponik, pemuliharaan alam sekitar, dan aspek-aspek kelestarian. Pendedahan kepada golongan OKU tentang kebaikan pertanian lestari menggunakan hidroponik dari segi ekosistem, sosioekonomi, dan kesihatan juga merupakan fokus utama program. Selain daripada sesi taklimat dan praktikal, peserta program turut dibawa melawat projek-projek hidroponik yang berjaya untuk memberikan inspirasi dan motivasi untuk melibatkan diri dalam teknik penanaman ini pada masa hadapan. Setiap aktiviti dirancang dengan teliti dan menarik agar bersesuaian dengan keupayaan dan tumpuan para peserta.

Program ini telah memberi ruang kepada golongan OKU untuk memahami potensi pertanian hidroponik, bukan sahaja memindahkan pengetahuan tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk menjadi pencetus perubahan dalam ekosistem sosioekonomi. Ia juga sejajar dengan usaha sekolah dalam menyediakan kursus-kursus kemahiran bagi memastikan kelangsungan hidup golongan OKU.

Fokus program ini adalah memberi tumpuan kepada penanaman hidroponik iaitu salah satu teknologi pertanian yang inovatif dan mesra alam. Selama lapan hari, peserta diberikan pendedahan terperinci tentang asas penanaman hidroponik menggunakan kit yang ada di pasaran mahupun menggunakan bahan kitar semula. Pentingnya penggunaan baja dan penghalau serangga dari bahan alami tanpa bahan kimia turut ditekankan dan ia memberikan pandangan holistik terhadap kelestarian alam sekitar. Majlis penutup program telah disempurnakan pada pada hari terakhir program dengan penyampaian sijil kepada semua peserta dan fasilitator yang terlibat.

Seiring dengan misi SKUM untuk melibatkan OKU dalam pembangunan mampan, kursus ini berjaya menanamkan kesedaran mengenai pertanian lestari menggunakan teknologi hidroponik. Seterusnya peserta diharapkan dapat menyumbang kepada sumber bekalan makanan yang berpanjangan. Selain itu, program ini memberikan bukan sahaja keterampilan teknikal tetapi juga memupuk semangat keusahawanan dan kelestarian dalam kalangan mereka serta membuka minda mereka terhadap potensi yang belum diterokai.

Menghidupkan impian mereka bukan hanya tugas kita sebagai masyarakat, tetapi suatu kehormatan. Moga setiap peserta tidak hanya membawa pulang pengetahuan baru, tetapi juga semangat untuk terus berusaha, terus berinovasi, dan terus menjadi pelopor perubahan dalam masyarakat.