Berkongsi Rezeki Tanda Kesyukuran Di Free Market Ramadhan Raya 2023 UiTM Cawangan Pulau Pinang

PULAU PINANG, 11 April 2023 – 10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444 H telah berlangsung program Free Market 5.0 dengan bertemakan Ramadhan Raya 2023 di Laman Perdana UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program ini adalah berkonsepkan pemberian barangan baharu atau preloved secara percuma kepada yang memerlukan. Antara barangan yang berjaya dikumpulkan untuk program ini adalah seperti pakaian, kasut, permainan kanak-kanak, aksesori, hiasan dalaman dan buku.

Seawal jam 9 pagi tujuh (7) gerai Free Market telah diserbu oleh para pelajar, staf dan kakitangan pembersihan kampus. Pada edisi kali ini ia telah disertai oleh Akademi Pengajian Bahasa, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Sains Komputer dan Matematik, Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari, Jabatan Sains Gunaan dan Bahagian Pentadbiran.

Program wajib setiap tahun ini adalah anjuran Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM Cawangan Pulau Pinang. Ternyata ia mendapat sambutan yang meriah dan telah berlangsung dengan lancarnya. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kejayaan seumpama ini. Semoga program sebegini dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat.

Takbir bergema menggegarkan jiwa,
Tahmid bertukar erti kemenangan,
Hari raya menjelang tiba,
Berkongsi rezeki tanda kesyukuran.