Berkolaborasi Bersama Rizman Ruzaini: UiTM Cawangan Perak Membuka Lembaran Baru dalam Dunia Fesyen

3 Oktober 2023 PERAK, MALAYSIA – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah mengukuhkan kerjasama strategik dengan Rizman Ruzaini, seorang pereka fesyen tersohor yang juga merupakan alumni UiTM Cawangan Perak. Pertemuan bersejarah ini bertujuan untuk membincangkan kolaborasi dan kerjasama dalam industri fesyen, serta rangkaian alumni, yang dijangka berlangsung selama dua tahun dan juga sebagai Duta UiTM Cawangan Perak.

Dalam pertemuan yang diadakan pada tarikh 3 Oktober 2023, Rizman Ruzaini, yang telah mengukir namanya dalam industri fesyen, menjadi duta bagi UiTM Cawangan Perak. Ini bukan hanya memperlihatkan penghormatan terhadap pencapaian cemerlang alumni mereka, tetapi juga menjadi titik permulaan bagi pelbagai inisiatif yang berkaitan dengan seni reka fesyen.

Selain daripada Rizman Ruzaini, pertemuan ini turut dihadiri oleh wakil-wakil universiti, termasuk Prof. Madya. Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab Gani (Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Cawangan Perak), Dr Aznan Omar (Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK)), Muhammad Khalik Mustafa (Koordinator Program Seni Reka Fesyen), dan Dr Zainudin Md Nor (Pensyarah Jabatan Seni Reka Fesyen).

Kerjasama ini diharapkan akan membawa banyak manfaat kepada UiTM Cawangan Perak. Alumni yang berjaya seperti Rizman Ruzaini boleh memberi pandangan berharga dan kepakaran dalam industri fesyen kepada universiti. Sebagai seorang berjaya di dalam bidang perniagaan, dia juga mungkin dapat memberi sumbangan kepada program-program pendidikan dan latihan yang akan membentuk bakat-bakat muda dalam pelbagai bidang yang di tawarkan di UiTM.

Peranan Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, dan Alumni adalah penting dalam menyusun rangkaian industri, yang akan membuka lebih banyak peluang bagi graduan UiTM Cawangan Perak untuk memasuki industri fesyen dengan lebih lancar.

Kerjasama ini juga melibatkan pelaksanaan “Projek Mega” yang dicanangkan untuk meningkatkan kehadiran UiTM Cawangan Perak dalam industri fesyen. Harapannya adalah agar projek ini akan memberikan kesan yang besar kepada universiti serta industri fesyen Malaysia secara keseluruhannya.

Ini adalah satu contoh yang baik tentang bagaimana universiti dapat mengukuhkan hubungan dengan alumni yang berjaya untuk kebaikan pelajar dan masyarakat setempat. UiTM Cawangan Perak dan Rizman Ruzaini berada di landasan yang betul untuk mencipta inovasi dalam dunia seni reka fesyen. Kita menantikan perkembangan menarik yang akan muncul daripada kerjasama ini dalam tempoh dua tahun yang akan datang.