Bengkel Tips Dan Persediaan Sebelum Ke Latihan Industri

Latihan Industri (EEE351) ialah kod kursus yang wajib diambil oleh setiap pelajar dari program CEEE111 – Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) dan CEEE112 – Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) pada semester akhir mereka, iaitu semester 6. Oleh itu, setiap akhir semester 5, Unit Latihan Industri, Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE), UiTM Cawangan Pulau Pinang akan menganjurkan Bengkel Pengukuhan Kendiri Latihan Industri kepada pelajar-pelajar yang terlibat pada semester tersebut. Ini merupakan satu inisiatif yang dianjurkan untuk memberi gambaran awal kepada pelajar tentang persediaan ke arah alam pekerjaan. Secara amnya, objektif bagi bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kemahiran komunikasi yang berkesan untuk diaplikasikan semasa menjalani latihan industri dan alam pekerjaan serta pencerahan tentang keselamatan di tempat kerja.

Pada Semester Mac – Julai 2023, Koordinator Latihan Industri (EEE351) bagi kedua-dua program ini (CEEE111 dan CEEE112) iaitu Ir. Siti Sarah Mat Isa dan Puan Anis Diyana Rosli telah merancang bengkel ini diadakan selama satu hari dan dipecahkan kepada tiga sesi. Sesi pertama dimulakan dengan “Industrial Training Preparation” yang disampaikan oleh Encik Ridza Effendi Abdul Razak, Jurutera Proses dari Intel Product Malaysia. Beliau berkongsi tentang cabaran-cabaran dalam alam pekerjaan, tips untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu, kemahiran insaniah serta sikap positif yang perlu dimiliki ketika bekerja dalam kumpulan. Menurut beliau juga, sepanjang tempoh latihan industri ini, pelajar boleh mengambil peluang untuk membina jaringan profesional dan mempelajari sebanyak mungkin kemahiran teknikal dan kepimpinan.

Sesi kedua diteruskan dengan perkongsian oleh Puan Nor Azzura Saari, Pemeriksa Kilang dan Jentera dari JKKP Pulau Pinang berkenaan tajuk “Safety in Workplace”. Beliau membentangkan tentang risiko, cara-cara mengklasifikasikan keselamatan di kawasan persekitaraan dan alatan-alatan yang digunakan serta kesan-kesan buruk sekiranya tidak menitikberatkan ciri-ciri keselamatan di tempat kerja. Lebih menarik lagi, beliau berkongsi gambar-gambar kemalangan ngeri yang telah berlaku di tempat kerja. Secara tidak langsung, perkongsian tersebut menangkap perhatian semua pelajar yang terlibat berkaitan kepentingan keselamatan khasnya di tempat kerja.

Penceramah untuk sesi terakhir ialah Cik Aida Syafiqah Sihab , yang juga seorang Jurutera Proses dari Intel Product Malaysia membentangkan berkenaan tajuk “ Etiquette & Work Environment Exposure and Soft Skill Development”. Perkongsian ini berkisar tentang kepentingan etika, cara untuk praktis dan meningkatkan kemahiran interpesonal. Tambahan daripada itu, beliau juga menjelaskan cara untuk membina hubungan yang baik dangan rakan sekerja, menjaga disiplin serta patuh kepada peraturan-peraturan di tempat kerja. Melalui penganjuran bengkel seperti ini, pelajar-pelajar lebih bersedia dan mendapat gambaran awal berkenaan dunia pekerjaan sebelum menjalani latihan industri nanti.