TAWAU : Seramai 11 pelajar Program Pra Diploma Sains, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah menyertai Bengkel Skor A Peperiksaan Akhir Semester Oktober 2022 – Februari 2023 pada 8 dan 10 Februari 2023 yang lalu.
Bengkel yang melibatkan semua pelajar yang mengambil kursus Fizik untuk Pra Sains (PHY083) dan Kimia untuk Pra Sains (CHM083) merupakan inisiatif berterusan oleh tenaga pengajar dari Fakulti Sains Gunaan, UiTMCSH Kampus Tawau.
Tujuan utama bengkel ini diadakan bagi membantu melonjakkan semangat dan persediaan rapi dengan memberi fokus terhadap kandungan topik silibus yang kurang mahir agar sebarang kelemahan boleh diperbaiki oleh para pelajar sebelum menghadapi peperiksaan akhir.
Semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh Cik Nor Farina Thomas, pensyarah PHY083 dan Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, pensyarah CHM083, telah bersama-sama turun padang bertindak sebagai fasilitator bagi memberi dorongan dan motivasi para pelajar agar berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang.
Menurut salah seorang pelajar siswi, Dayang Nur Aqilah Awg Dzulkernain, bengkel ini telah memberi keyakinan kepadanya untuk menghadapi peperiksaan akhir.
“Saya lebih yakin untuk melangkah ke bilik peperiksaan dan berharap dapat memperoleh gred A dalam PHY083 dan CHM083 nanti,” katanya.
Manakala, Mohamad Khairul Zainal Johnny Foo Tau Fen @ Mohd Zain, pelajar siswa, dengan kerap membuat latih tubi soalan peperiksaan tahun terdahulu, menjadikannya terbiasa terhadap format soalan setiap kursus yang berkenaan.
“Kami telah didedahkan mengenai kaedah dan teknik yang betul agar dapat menganggarkan kadar masa untuk menjawab setiap soalan,” tambahnya lagi.
Sebagai info, Peperiksaan Akhir UiTM Semester Oktober 2022 – Februari 2023 bermula pada 6 hingga 21 Februari 2023.