Bengkel Sistem Ezakat Baharu untuk Permohonan Zakat Pelajar UiTM CPP Anjuran Unit Zakat, Sedekah Dan Wakaf (UZSW)

Pulau Pinang, 07 Mac 2024Unit Zakat, Sedekah, dan Wakaf (UZSW) Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah mengadakan satu bengkel sistem EZakat Baharu kepada barisan penemuduga zakat yang dilantik oleh UiTM Cawangan Pulau Pinang. Seramai 23 orang penemuduga telah hadir ke bengkel tersebut. Dua wakil dari Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM Shah Alam iaitu Ustaz Muhamad Faisol Alwi, Ketua Unit Agihan dan Program serta Ustaz Mohd Izwan Ruslan, Ketua Unit Kutipan dan Pemasaran dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan taklimat berkenaan penggunaan sistem Ezakat UiTM tersebut.

Sebelum ini permohonan zakat pelajar di UiTM Cawangan Pulau Pinang menggunakan sistem ezakat UiTM Cawangan Pulau Pinang sendiri. Hampir 12 tahun sistem ini digunapakai yang telah dibangunkan dan dikendalikan oleh pensyarah Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM) iaitu Encik Saiful Nizam Warris. Kini tiba masanya UiTM Cawangan Pulau Pinang bertukar kepada sistem ezakat baharu yang telah lama digunakan oleh UiTM Shah Alam dan beberapa kampus yang lain agar penggunaannya dapat diseragamkan. Ini akan memudahkan penyediaan laporan permohonan zakat kepada Bahagian ZAWAF UiTM Shah Alam. Sistem ini dikatakan lebih efisien kerana pelbagai maklumat latar belakang pelajar ketika memohon zakat dapat diperolehi dengan mudah dan cepat. Sistem ini akan digunapakai bermula sesi Mac 2024 ini. Dengan penggunaan sistem ezakat yang baharu ini membantu proses permohonan zakat pelajar lebih mudah.