Ziarah Kasih Mahabbah di Ambang Ramadan Peringkat UiTM CPP Anjuran Unit Zakat, Sedekah Dan Wakaf (Uzsw)

Pulau Pinang, 07 Mac 2024Keprihatinan UiTM kepada pelajar yang kurang berkemampuan dibebani kos sara hidup yang semakin meningkat, Unit Zakat, Sedekah, dan Wakaf (UZSW) Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP)  telah mengadakan satu program Ziarah Kasih Mahabbah di Ambang Ramadan Peringkat UiTM Cawangan Pulau Pinang bermula 07 Mac 2024 hingga 10 Mac 2024 dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Kolej Pengajian Kejuruteraan dan Fakulti UiTM Cawangan Pulau Pinang bersama rakan strategik AEON BIG Perai. Seramai 20 orang pelajar telah dipilih dan layak menerima bantuan wang tunai RM500 seorang dan sumbangan barang keperluan harian dari AEON BIG, Perai. Peruntukan sebanyak RM10,000 dari Tabung Jelajah Asnaf yang diagihkan kepada setiap cawangan adalah daripada pembayar zakat dalam kalangan warga UiTM.

Penglibatan 9 pasukan dengan melibatkan 36 orang kakitangan UiTM sebagai sukarelawan memudahkan agihan bantuan kepada pelajar di lima daerah Pulau Pinang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Turut hadir ke program ini, Penolong Rektor Cawangan Pulau Pinang UiTM Kampus Bertam, Encik Amir Herberd Abdullah, Timbalan Rektor (PJIM&A) UiTMCPP, Prof. Madya Ts. Dr. Kay Dora Abdul Ghani; Puan Nurkamarusyani Mohd Zain, Timbalan Bendahari, Pejabat Bendahari UiTMCPP; Ustaz Muhamad Faisol Alwi, Ketua Unit Agihan dan Program; Ustaz Mohd Izwan Ruslan, Ketua Unit Kutipan dan Pemasaran, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), UiTM Shah Alam. Pelaksanaan program ini memberi ruang kepada warga UiTM Cawangan Pulau Pinang untuk menanam perasaan rasa prihatin dan memperkukuhkan hubungan baik sedia ada bersama keluarga pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan dan tidak bernasib baik.