Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang (UiTMCPh) telah menerima kunjungan lapan pensyarah dari Indonesia bagi tujuan pelbagai aktiviti kolaborasi dari dua universiti iaitu Institut Kemajuan dan Ilmu Perguruan Bojonegoro (Persatuan Guru Republik Indonesia) dan Universitas Negeri Malang (UNM), Indonesia dari 5hb Julai 2023 hingga 7hb Julai 2023. Salah satu program yang telah diadakan adalah Bengkel penulisan antarabangsa tiga penjuru IKIP PGRI Bojonegoro, Indonesia – UiTMCPh, Malaysia- UNM, Indonesia.
Bengkel ini diadakan pada 7hb Julai 2023 dan melibatkan lebih lapan pensyarah antarabangsa dan lebih dua puluh penulis UiTM. Di antara kehadiran secara semuka adalah Timbalan Rektor Akademik UiTM Pahang, Prof Madya Dr Nazirah Ramli; Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa IKIP PGRI Bojonegoro, Dr Ima Isnaini dan Dr Nanang Zubaidi Koordinator Bahasa Inggeris Fakultas Sastera UNM. Bengkel penulisan jurnal bersama ini diadakan secara hybrid di makmal komputer Perpustakaan Al-Bukhari UiTM Pahang dan menggunakan kaedah penulisan serentak Google Doc (Google Doc synchronized group writing). Selain dari mengukuhkan hubungan tiga hala ini, objektif bengkel ini dijangka bakal mencapai PI055 (kolaborasi penulisan antarabangsa jurnal berindeks) dan PI 084 (aktiviti di bawah MoU) bagi tahun 2024. Perancangan awal sebegini ini dilihat sebagai satu cara proaktif.
Program ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr Tengku Intan Suzila T.S dan dibantu oleh Nurain Jantan. Sebanyak lapan kertas penulisan jurnal dianggarkan dapat dihasilkan. Bengkel ini disertai kelompok penyelidik dari pelbagai bidang antaranya bahasa inggeris, pendidikan, dan matematik. Antara tajuk penulisan yang dijangka mampu memberi impak petikan (citation) adalah Enthomatematics in Malaysia & Indonesia: A Comparative Study dan Stakeholders’ Readiness for Voluntary Carbon Market Implementation in Wetland Conservation.
Program ini disambung selanjutnya secara komunikasi media WhatsApp dan juga Google Doc bagi tujuan pengeditan dan semakan akhir bagi tujuan proses penerbitan. Adalah menjadi harapan agar kolaborasi ini bakal membuka pelbagai peluang usahasama penyelidikan, penulisan juga pengajaran dan pembelajaran antara tiga universiti ini.