TAWAU: Bengkel Pecutan Akhir telah diadakan khusus bagi pelajar program Pra Diploma Perdagangan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau menjelang peperiksaan akhir Februari 2023.
Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan akhir UiTM semester Oktober 2022 – Februari 2023 yang bermula dari 6 Februari hingga 21 Februari 2023. Bengkel ini menumpukan kepada kursus Matematik (MAT037) memandangkan kursus tersebut telah menjadi penyumbang utama kepada penurunan peratusan LNT ke peringkat program Diploma.
Bengkel Pecutan Akhir telah dikendalikan oleh tiga orang pensyarah yang mengajar kursus tersebut, iaitu Haji Surjan Haji Sirajudin, Puan Milbah Ibrahim dan Puan Hamidah Achmad.
Di dalam bengkel ini, pelajar-pelajar telah diberikan pendedahan kepada bentuk soalan peperiksaan akhir dengan diberikan latih-tubi intensif soalan-soalan peperiksaan akhir semester lalu. Sebagai pendedahan awal menghadapi peperiksaan akhir, peperiksaan akhir percubaan juga telah diadakan.
Menurut salah seorang pelajar, Mohamad Yusri Sanali, bengkel ini telah memberi cukup keyakinan kepadanya untuk lulus kursus MAT037.
“Sebelum ini saya sangat bimbang akan gagal memandangkan saya sangat lemah dalam Matematik, tetapi setelah mengikuti bengkel ini saya yakin akan lulus dan dapat menyambung pengajian ke diploma”, katanya dengan penuh yakin.
Manakala, Elisa David yang sangat mengimpikan untuk mendapat keputusan yang cemerlang merasakan bengkel ini dapat membantunya untuk mencapai impian tersebut.
“Daripada bengkel ini saya banyak mendapat tips dan panduan cara menjawab soalan dengan tepat. Saya yakin untuk mendapat keputusan yang cemerlang bagi kursus MAT037”, kata Elisa.
Program ini akan diteruskan lagi pada semester akan datang memandangkan bengkel ini mendapat respon yang sangat baik daripada pelajar dan membantu pelajar meningkatkan pencapaian akademik mereka.