KOTA SAMARAHAN, 20 Oktober 2023 – Bengkel Koordinasi “Academic Engagement Session” (AES) antara Pengurus Utama (Kampus Seri Iskandar) dan Pengurus Pelaksana (Kampus Kota Samarahan) program Diploma Ukur Bahan (AP114) bagi semester Oktober 2023- Februari 2024 telah berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada 19 Oktober dan 20 Oktober 2023 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Sarawak, Kampus Kota Samarahan.
Seramai 23 orang ”Resource Person” (RP) dari Kampus Seri Iskandar, Perak dan 14 orang ”Lecturer In Charge” (LiC) dari Kampus Kota Samarahan, Sarawak diketuai oleh Koordinator Program kedua-dua kampus iaitu Dr Asniza Hamimi Abdul Tharim (Seri Iskandar, Perak) dan Sr Dr Noraziah Wahi (Kota Samarahan, Sarawak) telah terlibat di dalam bengkel ini.
Objektif utama bengkel ini bertujuan melakukan koordinasi bersama “Resource Person” (RP) dan “Lecturer In Charge” (LiC) bagi memastikan Pengurus Utama (PU) serta Pengurus Pelaksana (PP) memenuhi kualiti program akademik yang digariskan di dalam Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA), Manual Akreditasi untuk Program Ukur Bahan oleh Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (BQSM) serta Universiti.
Aktiviti utama bengkel ini dilaksanakan dengan sesi taklimat dan perbincangan mengenai kurikulum baru Diploma Ukur Bahan (AP114) oleh Penyelaras Penambahbaikan Kurikulum AP114, Cik Nur’Ain Ismail. Objektif taklimat dan pembentangan menyentuh aspek pembangunan kurikulum Diploma Ukur Bahan agar mematuhi kehendak terkini pematuhan badan-badan professional dan industri, merangka tindakan dan penyediaan dokumentasi serta pematuhan Akreditasi.
Susulan daripada taklimat dan pembentangan laporan, sesi perbincangan antara ”Resource Person” dan ”Lecturer In Charge” (LiC) dijalankan mengikut kod kursus. Perbincangan ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan penjajaran konstruktif, kesetaraan dan penilaian berlaku berdasarkan pelan pentaksiran kursus yang ditetapkan oleh Pengurus Utama.
Bengkel koordinasi ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Prof Madya. Ts. ChM. Dr. Mohamad Isa bin Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Kampus Kota Samarahan. Turut hadir adalah Ketua Pusat Pengajian (KPP) UiTM Kota Samarahan, Sr Dr. Asmah Alia Binti Bohari.
Laporan disediakan oleh: Sr Dr. Farhan binti Md Dahlan, Sr Dr. Shahela Mamter & Cik Nur‘Ain Ismail