Batik Sulam Kasih di Sebalik Tirai Besi

MACHANG, 6 Februari – Bertempat di Dewan Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar, Pusat Pemulihan Akhlak Machang telah berlangsung Majlis Soft Launching Batik Sulam Kasih (PPA) Machang 2023 yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Haji Abdol Samad Bin Nawi, Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan. Batik Sulam Kasih menjadi projek kolaborasi terbaru oleh sekumpulan pensyarah dari Jabatan Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Kelantan. Selain bekerjasama dalam persediaan majlis pelancaran tersebut, mereka juga menjadi tulang belakang kepada kurator pameran serta koreografi peragaan fashion dan tekstil Batik Sulam Kasih.

Kumpulan pensyarah ini turut bertanggungjawab dalam membantu pihak PPA Machang bagi memperkenalkan produk batik berasaskan idea motif dan reka corak yang bersumberkan alam semulajadi. Batik Sulam Kasih diinspirasikan dari alam tumbuhan persekitaran kehidupan harian seperti herba, ulam-ulaman dan bunga-bungaan liar yang banyak tumbuh di persekitaran harian kita. Untuk fasa pertama ini beberapa motif telah diketengahkan contohnya motif bunga serta pucuk labu, daun kesum, bunga kantan dan sebagainya. Garapan idea motif ini adalah sangat dekat dan sinonim dalam masyarakat tempatan khususnya rakyat Kelantan.

Hasil bimbingan dan tunjuk ajar oleh pihak UiTM Cawangan Kelantan ini, terhasillah produk batik blok terkini yang dinamakan sebagai “Batik Sulam Kasih” sekaligus menjadi produk terbaru pada tahun 2023. Ia adalah hasil air tangan sepenuhnya oleh penghuni dan para pegawai bengkel Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini. Penghasilan produk ini merupakan kolaborasi pintar antara pihak Jabatan Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Kelantan bersama pihak PPA Machang dari segi rekaan corak dan teknik penghasilan batik. Hasrat dari kerjasama ini adalah bagi menjayakan misi pihak PPA untuk memastikan batik yang dihasilkan oleh penghuni PPA Machang menjadi pilihan dan dikenali di seluruh negara. Kerjasama ini akan diteruskan lagi bagi fasa berikutnya. Pada masa yang sama, beberapa buah program kerjasama akan turut dibincangkan secara lebih teliti. Yakin bahawa produk tersebut mampu mendapat tempat dipasaran luar, pihak UiTM Cawangan Kelantan juga akan memberi khidmat kepakaran kepada pihak PPA Machang dalam usaha mewujudkan sebuah galeri jualan yang berkonsepkan pusat sehenti bagi menarik lebih ramai pengguna dan meningkatkan jualan Batik Sulam Kasih.

Penulis: 
Encik Mohd Bakeri Ab. Rahman, Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK)